Saturday 19 April 2014

TIPS: Petua Memancing


ETIKA MEMANCING

  • Membawa balik ikan yang diperlukan sahaja.
  • Tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
  • Sentiasa meningkatkan ilmu memancing.
  • Mematuhi peraturan memancing dan pengendalian peralatan memancing.
  • Menghormati hak-hak pemancing lain.
  • Menghormati peraturan kolam atau lokasi pancing persendirian.
  • Menyebarkan pengetahuan sesama pemancing.
  • Menyokong usaha-usaha memelihara alam sekitar.
  • Tidak melepaskan ikan dan tumbuhan ke dalam lokasi pancing.
  • Berusaha membangunkan industri pancing.

KEKALKAN IKAN SEGAR

BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan.
  • Menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika meronta, jaring koyak dan ikan terlepas.
  • Paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai.
  • Banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk.
  • Membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu antara mata ikan berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan, besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepat proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara mendadak, otak ikan tidak sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan. Bagaimanapun, cara ini hanya digunakan ke atas ikan yang besar sahaja.

LESUNG BATU RUMAH IKAN

MUNGKIN sukar bagi seorang pemancing untuk mencari lubuk ikan yang tidak pernah habis dengan ikan-ikan di dasarnya. Lazimnya kita biasa mendengar tayar atau kereta buruk dijadikan tukun untuk ikan berkampung di sekitarnya.
Mengikut petua, anda boleh membuat lubuk ikan anda sendiri tetapi mungkin mengambil masa yang agak lama. Dapatkan satu lesung batu yang sudah berlubang di bahagian tengahnya. Pastikan anda tidak membuat lubang dan ianya terjadi kerana sudah terlalu lama digunakan.
Campakkan lesung batu berkenaan ke mana-mana bahagian sungai yang anda suka, ikan akan berkumpul di situ.Kalau nak tahu cuba buat… 

JANGAN MELANGKAH JORAN

Mungkin ramai yang percaya apabila joran dilangkah, ia akan dilanda ‘suwey’ dan joran tersebut sudah tidak ‘ong’ lagi. Amalan ini adalah perkara biasa kepada kaki pancing, tetapi masih ada yang tidak percaya dan tidak menghiraukan pantang larang tersebut.
Mereka menganggap ia cuma dusta orang-orang tua zaman dulu-dulu.Tidak dinafikan sesetengah pantang larang adalah untuk mendidik kita untuk tidak melakukan sesuatu yang tidak sopan dan sesetengah pantang larang pula adalah tahyul semata-mata.
Joran adalah sebuah alat yang digunakan sejak zaman nenek moyang kita lagi untuk mencari rezeki. Adalah tidak sopan untuk kita melangkah sebuah alat yang digunakan untuk mencari rezeki sama seperti kita melangkah sepinggan nasi yang kita ingin makan.
Walaupun pendekatan nenek moyang kita menggunakan pendekatan menakutkan kita dengan mengatakan apabila joran dilangkah rezeki sudah tidak datang, ia boleh menimbulkan keraguan kepada kita. Pada pokok pangkalnya mereka hanya ingin kita terus menghormati alat yang digunakan untuk mencari rezeki.
Kebanyakan pemancing kini sudah tidak menghiraukan kebanyakan pantang larang orang tua-tua dan sudah tidak berminat dengan pantang larang tersebut. Ambillah sesetengah pantang larang sebagai ikhtibar dan jangan mengambilnya bulat-bulat kerana boleh menyebabkan kita percaya kepada yang takhyul sebaliknya jadikannya bekalan ilmu kepada kita.

ASAM PENGUBAT MABUK LAUT

Memancing laut dalam adalah sangat menyeronokkan namun ia merupakan suatu dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi apabila mabuk laut. Laut yang bergelora dan ombak menghempas dikala panas terik menyebabkan para pemancing tumpas dek terkena mabuk laut.
Pelbagai petua dan tips yang digunakan pemancing termasuk menggunakan teknologi moden seperti ubat mabuk yang berada di pasaran. Kekurangan air didalam badan dan hempasan laut yang bergelora menyebabkan para pemancing boleh tumpas apatah lagi apabila kepanasan yang melampau waktu tengah hari melemahkan lagi mangsa mabuk laut.
Memakan buah yang masam dan minum air yang secukupnya boleh memberikan kelegaan kepada kaki pancing dari mabuk dan sekaligus dapat mengelakkan para pemancing dari terus mabuk dan membantutkan keseronokan memancing.
Membawa gula-gula dan sentiasa memastikan mulut tidak kering boleh mengelakkan dari mabuk dan memberikan keselesaan kepada badan para pemancing.
Para pemancing dinasihatkan meminum air secukupnya dan jangan biarkan perut kosong dan dalam berkeadaan letih. Walau perbagai dugaan untuk memancing, para pemancing adalah lasak dan akan terus berjaya untuk menaikkan tangkapan seterusnya tidak kira apapun dugaan yang mendatang.
Tips pancing juga boleh diperolehi menerusi forum berikut:
Pancing.Net
KakiPancing.Net
BruneiFishing
Joran
atur.tripod.com
Memancing Ikan


Sumber

No comments:

Post a Comment