Monday 21 April 2014

Nyaman Pulau Aur


BOT laju pembawa penumpang berlabuh di pantai Pulau Aur.

BAGI golongan pencinta alam, keindahan latar hutan dan bukit sudah dianggap anugerah terindah. Apatah lagi kalau pemandangan itu digandingkan dengan pasir pantai memutih, air jernih dan formasi karang laut yang cantik.
Terletak kira-kira 76 kilometer (km) dari Bandar Mersing, Pulau Aur merupakan pulau yang paling jauh jaraknya dari tanah besar. Secara tidak langsung, pulau tersebut terhindar daripada pencemaran yang merosakkan persekitarannya. Tidak hairanlah jika dalam jarak dua batu nautika dari pantai pulau tersebut, terdapat kawasan yang diwartakan sebagai Taman Laut Johor.
Keletihan pengunjung yang merentas perjalanan dengan bot laju ke pulau selama dua jam setengah seakan-akan hilang sejurus disambut keindahan gaya hidup pulau di situ.
Air laut pulau yang membiru menyuntik rasa segar lantas mengajak pengunjung bermandi-manda. Pada masa yang sama, mereka boleh menghargai panorama bukit-bukau dan pulau-pulau kecil berhampiran. Semua itu mampu melenyapkan rasa bosan dan buntu akibat menjalani kesibukan hidup di kota.
Penginapan
Para pengunjung yang bercuti di Pulau Aur tidak perlu khuatir dengan kemudahan calet yang disediakan terutama di pusat pulau berkenaan iaitu di Kampung Teluk Berhala yang kini dikenali sebagai Kampung Teluk Sakinah.
Antaranya ialah calet Blue Water Holiday Resort yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas yang mencukupi. Dengan harga yang berpatutan, pengunjung bakal merasai keselesaan ketika menginap di sini ibarat seperti berada di rumah sendiri.
Pengurus Blue Water Holiday Resort, Siti Salsiah Mohamad, 33, berkata, caletnya menyediakan 16 bilik berhawa dingin dan empat tanpa hawa dingin serta menawarkan harga yang berpatutan dan mampu disewa para pengunjung.
Harga yang ditawarkan bagi bilik standard berhawa dingin ialah RM180 dan RM120 bagi bilik tidak berhawa dingin.
Katanya, di samping kemudahan bilik, calet itu turut menawarkan kemudahan bilik seminar. Dengan kapasiti bilik yang mampu memuatkan 100 orang pada satu-satu masa, tidak hairanlan ia menjadi pilihan kumpulan akademik, korporat atau organisasi untuk mengadakan seminar, mesyuarat atau kursus di pulau itu.
Salasiah memberitahu, sejak beroperasi kira-kira 10 tahun, lalu, resort itu sering menjadi pilihan pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Lazimnya, tempahan akan bertambah pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini. Selain bermandi-manda, pengunjung boleh mencuba aktiviti selam skuba, snorkeling dan memancing,” ujarnya yang turut menawarkan pakej kembara hutan.
“Para pengunjung akan bertambah terutama pada hujung minggu termasuk tempahan yang dibuat oleh kaki pancing dari Singapura,” katanya.
Bagi pemandu bot laju syarikat Blue Water, Asfarizal Nasrul, 33, selama empat tahun dia bekerja sebagai pemandu bot, baginya, Pulau Aur merupakan pulau yang paling cantik di daerah tersebut.
“Walaupun terletak paling jauh dari Mersing, keindahan dan kecantikan Pulau Aur tiada tandingannya,” katanya.
Pendapatnya itu turut dikongsi seorang penduduk pulau yang ditemui, Zainab Awang Kechik, 68, berkata, dia yang sejak turun-temurun tinggal di situ sudah biasa dengan suasana gaya hidup kampung di pulau.
“Kini pembangunan di Pulau Aur lebih rancak dan bilangan pengunjung yang hadir semakin ramai, berbeza dengan keadaan 20 tahun lalu,” katanya. – NORAZMAN ABDUL RAHIM

Sumber 

More Fishing News: www.gofishtalk.com

No comments:

Post a Comment