Monday 21 April 2014

Rahsia Kelong Acheh

Rahsia Kelong Acheh (artikel Majalah Sirip)

Mungkin ramai pemancing yang mempunyai pandangan kurang positif terhadap aktiviti memancing di Kelong. Ini di sebabkan oleh beberapa faktor seperti pulangan yang kurang memuaskan atau tangkapan yang bersaiz kecil.  Tambahan lagi kebanyakan kelong  di negara kita kurang selesa dari segi kemudahan asas seperti bilik tidur atau bilik air.

Keberkesanan memancing di kelong merangkumi berbagai faktor seperti lokasi serta kemudahan asas kelong tersebut.

Kelong yang menepati ciri-ciri Kelong yang menjadi idaman pemancing ialah Kelong Acheh yang terletak kurang dari 10 min perjalanan bot dari jeti Kg Penyabong di sempadan Johor dan Pahang di daerah Endau Rompin.

Kelong ini dilindungi oleh Pulau Acheh di belakangnya dan laut Cina Selatan di sebelah kanan.  Lokasi yang merupakan “highway” bagi kumpulan ikan yang mencari perlindungan  di Pulau Acheh menjadikan Kelong ini laluan strategik untuk mencari spesis ikan seperti Gerong Belang ( Golden Trevally), Tenggiri, Talang, Aruan Tasik(Cobia) dan Alu-alu. Ikan sederhana seperti Senangin dan Parang juga banyak di dapati disini.

Struktur Kelong juga merupakan tempat mencari makan untuk ikan umpan seperti selar dan tamban. Justeru itu kawasan Kelong Acheh menjadi tempat ikan besar mencari makan sambil berlindung dari ribut di laut.

Pelantar  
Kawasan pelantar yang luas menjadikan tempat ini sesuai untuk membaling umpan tanpa halangan. 

Bulan March hingga ke September merupakan masa yang terbaik untuk mencari hasil di kelong.  Namun kami pernah menaikkan ikan kaci seberat 4kg pada bulan Disember.

Pada mulanya kami tak pasti tentang kewujudan ikan besar di sini tetapi setelah mencuba bermacam teknik untuk mendapatkan “hook up”, kami mendapati cara terbaik
memancing di sini ialah dengan menggunakan teknik “bottom drifting” atau dasar hanyut menggunakan umpan selar, tamban atau selayang hidup yang memang banyak didapati di sekitar Kelong.  Kami hanya perlu menggunakan teknik”Apollo” untuk mendapatkan umpan tersebut.  Saiz Apollo yang sesuai ialah saiz 6 atau 8.

Sepanjang pengalaman kami memancing di Kelong Acheh kami tak sangka Sang Gerong Belang yang datang berlindung di Pulau Acheh menyambar umpan tamban kami serentak. Malangnya bagi saya, sang ikan melarikan diri kebawah bot yang diletakkan disisi Kelong dan perambut 50 paun terputus oleh propeller bot.

Gerong Belang

Rekod Kelong Acheh,  spesis Gerong Belang 7.8 kg

Berlainan pula dengan Abang Sham yang bernasib baik kerana ikan masih ada di tali. Mula mula joran di sentap kuat sampai tali habis di tarik keluar. Joran Abu Garcia Ultracast 10 kaki memang sesuai untuk melawan ikan yang sangat bertenaga kerana walaupun Sham berjaya menggulung tali sebanyak 150 meter, tiba tiba tali masih keluar hingga ke penghujung spool.  Pertarungan tarik tali berlangsung selama 30 minit sehinggalah kelibat ikan sudah nampak di permukaan air.  Kami terperanjat melihat ikan yang agak besar saiznya.  Setelah ditimbang nyata Sang Gerong memecah rekod terbesar ikan jenis ini di Kelong Acheh seberat 7.8 kg .

Malam menjelang tiba, selepas menikmati hidangan makan malam yang enak lagi segar, kami bersedia untuk memulakan sesi memancing malam.  Pukat dinaikkan dan ikan selar dan tamban yang terperangkap di dalam pukat di pindahkan ke dalam “holding tank” untuk kegunaan sepanjang malam. Ini amat penting kerana teknik mencari umpan menggunakan “Apollo” hanya boleh di lakukan di siang hari.

Tangki Umpan
 Umpan hidup dimasukkan kedalam holding tank

Sudah menjadi kebiasaan di waktu malam, kedengaran bunyi air berkocak kerana aktivi ikan todak memburu tamban di permukaan air.

Teknik yang sama di gunakan iaitu bottom drifting menggunakan perambut 50 lb dan rig dawai 30 lb dan umpan tamban hidup.   Sedang kami menikmati hidangan bubur kacang yang panas, kami dekejutkan dengan bunyi deringan kekili Penn 7500.  Joran di henjut kuat, rasanya mungkin si Alu alu. Sangkaan saya tepat setelah ikan dinaikkan 20 minit kemudian.

Sepanjang malam umpan hidup habis di baham ikan, kesan gigitan pada umpan nyata menunjukkan ikan saiz besar sibuk mencari mangsa.

Sambil menunggu ikan menyambar umpan, kami mencandat sotong kerana kebetulan bulan agak terang. Beberapa ekor sotong dapat di naikkan bersaiz 500 gm ke 900 gm.

Alu alu

Begitulah kepuasan memancing di dalam suasana nyaman dan selesa. Tiada buaian ombak yang menghalang pergerakan atu bau diesel yang kuat.  Walaupun kami sudah biasa menaikki bot di laut tetapi hasil dilaut kadang kadang kurang, mungkin di sebabkan terlalu banyak bot pukat tunda yang menjalankan aktiviti mereka.

Keselesaan menjadi keutamaan kami memandangkan aktiviti memancing adalah aktiviti sekeluarga.  Justeru itu anak anak juga dapat menikmati keseronokkan memancing  sambil menikmati dan mensyukuri keindahan alam semulajadi anugerah Nya untuk kita pelihara.

Kami gunakan masa ini untuk mendisplinkan anak anak supaya menghormati alam semulajadi dan tidak membuang sampah ke laut kerana akibat dari perbuatan itu akan mencederakan kehidupan laut dan akhirnya merugikan diri kita sendiri.

Malah kami juga menggalakkan anak anak supaya mengamalkan “tangkap lepas” unuk spesis yang belum mencapai dewasa, seperti anak tenggiri atau alu alu yang tersangkut pada mata “Apollo”.

Alu Alu kecil  
Alu alu kecil dilepaskan kerana ia belum cukup dewasa.

Keesokkan harinya setelah bangun awal subuh,  matahari mula menampakkan diri.  Suasana pagi yang tenang di sulami dengan bunyi kocakan air.  Sekumpulan tamban sudah menghampiri kelong untuk mencari makanan. 

Setelah menjamu selera dengan hidangan nasi lemak lauk ikan selar goreng, kami meneruskan aktiviti memancing sebelum tiba masa untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Kami namakan masa ini masa kecederaan.  Hanya tinggal 2 jam lagi sebelum masa untuk bertolak pulang.

Setelah anak bongsu menaikkan tamban sepenuhnya pada mata “Apollo” , Abang Sham pun bersedia dengan teknik “surface drifting” memandangkan arus kurang laju dan kelihatan kelibat Talang di permukaan air beberapa kali.

Tak sampai 5 minit umpan tambannya di sambar sesuatu, kelihatan Sang Talang melompat ke atas untuk melepaskan diri tetapi mata kail sudah mencengkam dengan kemas.  Pertarungan berlangsung selama 20 minit dan Talang 4kg menjadi milik kami.

Talang

Anak anak gembira bergambar dengan Si Talang

Alhamdulillah pengalaman memancing di Kelong Acheh menjadi aktiviti rutin kami setiap bulan.  Suasana dan keindahan tempat ini menjadi tarikan untuk untuk kembali kesini mencari tangkapan sambil menikmati udara nyaman dan makanan yang enak dan segar.  Tambahan pula harga pekej yang berpatutan juga menjadi faktor utama kami menjadi pelanggan tetap Kelong Acheh.

Fakta Kelong:

    • Untuk Ke Kelong Acheh dari Kuala Lumpur,  melalui Karak Highway,  susur keluar ke Gambang
    • Teruskan perjalanan ke highway 3 arah selatan melalui Pekan, Nenasi, Mercong, Rompin dan Endau
    • Bekalan Air untuk minuman dan mandian dipam terus dari punca mata air di Pulau Acheh
    • Kelong Acheh menyediakan pakej 2 hari satu malam pada harga RM150 seorang termasuk umpan, ais dan bot dari jetty ke Kelong
    • Tangkapan terbesar Kelong ialah Aruan Tasik 17kg
    • Tamban, Selar dan Kembong merupakan umpan terbaik untuk digunakan di Kelong
    • Joran sepanjang 7 kaki keatas dan kekili bersaiz 500 keatas merupakan perkakas yang sesuai untuk di gunakan di Kelong
    • Gunakan tali 25 paun ke atas dan panjang tali perlu 200 meter ke atas
    • Gunakan rig mata 1/0, 2/0 atau 3/0 di ikat dengan dawai bersalut untuk mencangkuk umpan hidup. Tambahkan spinner pada rig anda untuk menarik perhatian ikan. Rig ini perlu disambung kepada perambut sepanjang lebihkurang satu depa atau 1 meter yang disambung terus ke tali utama. (sila lihat gambar)
    • Gunakan “Apollo” jenis Mustad Worm Rig saiz 8 untuk menaikkan Parang dan Cermin
    • Untuk Keterangan lanjut sila hubungi Anjungkail di 48 Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati Tel: 20213442



Rig berkesan
Rig yang berkesan untuk memburu ikan di dasar Kelong.

Sumber 

More Fishing News: www.gofishtalk.com

No comments:

Post a Comment