Wednesday 29 May 2013

Mahkota berduri

 

MENYEDARI hakikat tersebut, kerajaan telah mengambil langkah tepat apabila mewujudkan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) pada 2007 yang berperanan mengurus, memulihara mega biodiversiti dalam taman laut bagi memastikan khazanah dalam taman laut terpelihara.
Jabatan tersebut telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus, melindungi dan memulihara kawasan-kawasan perlindungan selain mengekalkan kelestarian biodiversiti marin.
Ekosistem terumbu karang yang mudah terdedah kepada pelbagai ancaman seperti aktiviti manusia dan fenomena alam semulajadi telah menggerakkan JTLM untuk mengadakan program pembersihan di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti.
Baru-baru ini bertempat di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, program pembersihan terumbu karang dan tapak sulaiman Mahkota Berduri atau dikenali sebagai Crown of Thorns (COT) telah dilakukan dan disertai oleh kira-kira 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof, populasi COT yang berlebihan menyebabkan pelbagai spesis karang musnah di mana ia menjadi pemangsa kepada hidupan laut tersebut.
"Keadaan ini dipanggil outbreak dan kerosakan akibat fenomena ini akan mengambil masa antara 12 hingga 15 tahun untuk pulih seperti sedia kala.
"Terdapat dua kaedah untuk mengawal populasi COT ini iaitu melalui suntikan larutan kuprum sulfat atau mengutip dan menanamnya secara manual untuk dilupuskan," katanya pada majlis perasmian program Crown of Thorns (COT) dan pembersihan terumbu karang di Pulau Perhentian baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Dr. Sukarno Wagiman.
Tambah Zoul Azha, dalam tempoh 20 tahun bermula 1992 hingga 2012, kira-kira 10 ribu COT telah berjaya dikutip sepanjang program yang diatur Jabatan Taman Laut itu.
Program yang disertai sukarelawan ini dilihat mencapai objektifnya iaitu untuk mengurangkan kadar sampah serta serangan COT yang mampu menjejaskan ekosistem serta biodiversiti taman laut.
Program selama tiga hari ini telah mencapai objektifnya iaitu untuk mengurangkan kadar sampah serta serangan COT yang mampu menjejaskan ekosistem serta biodiversiti di samping memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan sukarelawan yang terlibat.
"Usaha seperti ini sedikit sebanyak membantu memelihara kepelbagaian biologi marin yang sedia maklum tidak ternilai harganya di samping memberi manfaat kepada generasi kini dan masa akan datang.
"Dalam masa yang sama, kekayaan serta keindahan biodiversiti marin berjaya menggamit kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara sekali gus merupakan salah satu penyumbang utama kepada pembangunan sektor pelancongan negara," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kesan serangan COT, beliau berkata, hidupan laut tersebut mampu mengurangkan kadar liputan karang di sesuatu kawasan serta mengancam pertumbuhannya.
Selain itu, ia turut memberi kesan secara langsung kepada hidupan yang bergantung pada karang untuk makanan dan perlindungan terutamanya ikan.
Berdasarkan kajian, kemusnahan karang melebihi 20 peratus menyebabkan penurunan populasi ikan yang menjadikannya sumber kebergantungan harian. - NOOR DIANA AZIS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20130513/st_01/Mahkota-berduri#ixzz2Um1b9bKU
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment