Thursday, 13 December 2012

Sukan Pancing Perlu Revolusi

KENAPA sukan memancing di Malaysia diabaikan? Persoalan yang kerap dipaparkan dalam JORAN ini masih belum dijawab atau diberi maklum balas mana-mana pihak. Sedangkan di Amerika Syarikat, ada 40 juta pemancing yang menjana AS$45 bilion jualan runcit peralatan dan aksesori pancing. Sukan itu yang diberi status industri, memberi kesan AS$125 bilion kepada ekonomi negara selain mewujudkan pekerjaan kepada lebih sejuta orang.
Presiden Persatuan Sukan Memancing Amerika (ASA), Mike Hussman, menyifatkan memancing kekal antara sukan luar (outdoor) paling popular di negara itu dan berkembang seiring industri bot. Menurut laporan Center of Competitive Analysis (CCA) di Universiti Missouri, industri bot di Amerika pada 1998 bernilai AS$19 bilion dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 60,000 orang. Menurut Persatuan Pengilang-Pengilang Marin Kebangsaan (NMMA), industri bot rekreasi mencatatkan jualan tahunan AS$32 bilion di Amerika. Ia dianggotai 1,600 pengilang dan mengendalikan 22 pameran bot.Fakta ini membuktikan memancing bukan lagi calang-calang sukan.

 

Di Malaysia, mana-mana pihak yang sanggup mengambil sukan memancing sebagai projeknya mampu muncul sebagai ‘seseorang’ yang berfikiran hebat. Dia mungkin akan diberi label sebagai ‘bapa industri baru’ dan sama taraf dengan idea dan pelaksanaan projek mega lain. Namun projek mega sukan ini berbeza kerana ia membabitkan lebih ramai akar umbi khususnya kira-kira 2 juta pemancing. Kemudian penggerak asas industri perikanan (nelayan) yang rata-rata Melayu, boleh diserapkan menjadi pemain utama industri memancing ini.

Apa yang perlu adalah melakukan satu revolusi minda, perundangan, infrastruktur dan tenaga kerja berkaitan industri ini. Tanggapan pemancing adalah warga kelas tiga; isu pembiayaan pembelian bot; undang-undang berkaitan yang bercelaru; ketiadaan kemudahan di jeti serta kurangnya tenaga mahir mengendalikan sukan ini - semua adalah halangan paling besar yang menyekat mata kita daripada menyaksikan kehebatan industri memancing di luar negara.
Industri ini boleh dimulakan dengan menubuhkan satu badan seakan-akan ASA dan disokong badan seperti NMMA. Panelnya melakar dan membentangkan isu, penyelesaian kemudian mengemukakan pelan induk serta dasar. Antara tindakan awal badan ini ialah status pemancing harus diperjelaskan dan diletakkan di bawah kementerian bersesuaian yang bakal menaungi badan berkenaan.Menyelesaikan isu status memancing bermakna menetapkan sama ada ia adalah satu sukan, kegiatan pelancongan atau aktiviti perikanan. Status memancing yang berada dalam zon kelabu dan bertindih ini menyebabkan ia diabaikan.
Di Amerika, ASA ditubuhkan 77 tahun lalu dan hasilnya sekarang adalah satu industri besar yang memantapkan ekonomi negara.Perkembangan industri memancing di Amerika dijadikan rujukan di sini supaya kita membuka mata dan mendapat keyakinan betapa Malaysia juga mampu membina industri memancingnya jika ada komitmen kerajaan yang disokong oleh pemain utama sukan ini.
Berdasarkan perbincangan Unit JORAN, Berita Harian dengan 25 orang pelbagai profesion mewakili pemancing di Balai Berita, baru-baru ini boleh dirumuskan, paksi kepada kebuntuan usaha memajukan sukan memancing adalah dasar kerajaan yang tidak pernah mahu melihat keseluruhan kegiatan ini.Mereka menyatakan, sukan memancing boleh dianjak daripada amatur sekarang kepada semi-pro atau pro sepenuhnya. Soal sistem pengurusan, pelabelan status, penajaan dan penganjuran pertandingan adalah perkara teknikal yang boleh dipelajari atau diserap pakai dari luar kemudian disesuaikan mengikut keperluan domestik.
Namun pokok atau paksi adalah isu apa status pemancing, perundangan industri, penguatkuasaan, logistik dan infrastruktur, penyediaan sumber manusia, pembiayaan membeli bot, pelesenan bot dan pemancing serta penyeragaman undang-undang yang ada pada beberapa agensi atau kementerian.Ketiadaan kemudahan di pangkalan membabitkan landasan turun naik bot, tandas, kemudahan membersihkan badan, bekalan air batu, lampu dan kaunter jualan minuman.
Bot pancing di Malaysia boleh dikategorikan sebagai ketinggalan kerana kerajaan tidak menguatkuasakan pemasangan set radio, tiada tandas, kurang selenggaraan, tekong tidak mahir, hal keselamatan, tiada GPS dan perkakasan elektronik mengesan ikan serta tidak mesra pelanggan.
Di Thailand, setiap bot 17 kaki atau lebih diwajibkan memasang set radio untuk hubungan dengan pangkalan serta tekong bot lain. Tetapi tidak diketahui apa sebabnya set radio tidak diwajib dipasang pada bot di Malaysia. Bot pancing Thailand juga menyediakan khidmat bertaraf hotel, krew yang mesra pelanggan, terlatih serta mahi menyediakan menu makan.Sikap tekong kita pula sesetengahnya pemalas, bengis, tidak boleh diajak berbincang, tidak tahu lubuk dan pengotor.
Teruknya isu bot adalah dengan membayangkan bagaimana seorang pemancing memegang tali di buritan untuk menyelesaikan sakit perutnya. Di mana inisiatif pemilik bot dan di mana mata pegawai kerajaan dalam menangani kemudahan asas sekecil ini? “Bayangkan betapa seksanya menahan sakit perut bagi ekspedisi lima hari ke perairan pelantar minyak,” kata seorang pemancing tegar, Abu Bakar Ali.“Saya sudah melatih 680 tekong bot tetapi cuma 32 bot yang ada tandas,” kata Mejar (B) Ismail Feisol, pemancing pro pertama Malaysia.


FAKTA: Di AS· Ada 2.77 juta pemancing di Florida, Texas (2.52 juta) dan California (1.73 juta).
· Ada 75,000 pekerjaan berkaitan memancing di Florida, Texas (59,000) dan Minesota

(43,100).
· Seorang daripada tujuh rakyatnya memancing.
· Sebanyak 45 peratus pemancing adalah warga kota.
· Sebanyak 25 peratus pemancing adalah wanita.
· Separuh jumlah pemancing berusia 35 hingga 54 tahun.



sumber dipetik drp Akhbar Joran, Berita Harian, Jumaat -21 Nov 2008

No comments:

Post a Comment