Enjin sangkut guna gas memasak ganti petrol
BUKIT MERTAJAM 6 Nov. - Sekumpulan pegawai dari Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Kampung Acheh, Setiawan, Perak berjaya menghasilkan enjin sangkut menggunakan cecair gas petroleum (LPG) bagi menggantikan penggunaan minyak petrol dan diesel.
Penghasilan enjin sangkut yang menggunakan gas itu dijangka dapat membantu meningkatkan penggunaan teknologi hijau dalam industri perikanan marin negara.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, penciptaan inovasi tersebut turut membantu mengurangkan kos operasi nelayan di pinggir pantai.
"Kos penyelenggaraan dan operasi enjin sangkut yang menggunakan gas memasak atau LPG ini dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus berbanding penggunaan petroleum atau diesel sebelum ini.
"Kita jangka lebih 18,000 nelayan akan beroleh manfaat sekiranya penggunaan inovasi enjin sangkut ini diperluaskan," katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Tahunan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perikanan Malaysia 2012 di sini hari ini.
Menurut Ahamad Sabki, hasil inovasi tersebut bakal dipromosikan terlebih dahulu kepada nelayan di Kampung Acheh bermula Januari tahun depan.
Sementara itu, tambah beliau, Pusat Penyelidikan Ikan Kebangsaan (NaFish) Batu Maung dekat sini juga berjaya memperkenalkan kaedah terbaharu yang berkesan menghalang pembiakan lintah dalam kolam ternakan ikan kerapu.
Menurutnya, kajian selama tiga tahun itu mendapati penggunaan paip Polinivil Klorida (PVC) dapat menghalang pembiakan lintah dalam kolam ikan tersebut.
"Sebelum ini kebanyakan penternak ikan kerapu akan menggunakan bahan kimia tertentu untuk membunuh lintah dan kaedah tersebut dilarang kerana boleh menjejaskan kualiti ikan," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20121107/st_01/Enjin-sangkut-guna-gas-memasak-ganti-petrol#ixzz2FHB4OBkM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment