Oleh ASLIZA MUSA
BAGI penggemar aktiviti riadah memancing, Coral Fishing Resort yang terletak di Teluk Muroh, Lumut, Perak merupakan antara destinasi yang wajar dijadikan pilihan.
Ini kerana, lokasinya yang strategik iaitu menghadap Pulau Sembilan dan Pulau Pangkor menjadikan ia lubuk ikan, sekali gus memastikan kaki pancing yang datang tidak pulang dengan tangan kosong.
Melalui penyediaan pelantar memancing di 21 buah calet berkonsepkan resort, kemudahan itu memberi keselesaan kepada kaki pancing untuk melepaskan gian menaikkan ikan.
Malah, mereka yang berkunjung ke Coral Fishing Resort untuk bersantai turut berpeluang mencuba nasib dan bakat memancing dengan menaikkan pelbagai jenis ikan bersaiz kecil dan besar termasuk siakap, kerapu dan ikan pari.
Terletak di Pulau Marina, sebuah pulau buatan manusia kira-kira tiga kilometer dari pekan Lumut, resort yang dibina di tapak seluas 128 hektar itu memiliki keunikan tersendiri, sekali gus mampu menawarkan pengalaman unik bercuti di tepi pantai.
Pegawai Operasinya, Basher Abu Bakar berkata, setiap calet yang dilengkapi dua bilik itu mempunyai pelbagai kemudahan lengkap bagi keselesaan tetamu, selain disertakan sarapan untuk empat orang.
Katanya, kadar sewa yang ditawarkan pula adalah serendah RM215 semalam tetapi boleh meningkat sehingga RM400 semalam pada waktu puncak seperti cuti umum dan cuti persekolahan.
''Coral Fishing Resort merupakan satu destinasi percutian yang dibuka bagi memenuhi keperluan mereka yang suka memancing di laut lepas.
"Lokasi ini sesuai untuk mereka yang mungkin sudah jemu melakukan aktiviti yang sama di sungai ataupun kolam," katanya kepada S2.
Menurutnya, pelantar memancing di setiap calet boleh memuatkan tujuh hingga lapan orang pada satu-satu masa.
Katanya, Coral Fishing Resort juga sesuai bagi mereka yang berkeluarga menikmati percutian santai sambil mencari ketenangan daripada hiruk-pikuk kebisingan kota.
''Angin laut yang sepoi-sepoi bahasa dan ditambah pula kawasan berteduh yang redup menjadikan Coral Fishing Resort ini tumpuan kaki pancing untuk melepaskan gian menaikkan ikan ke darat.
''Malah Coral Fishing Resort juga memiliki keunikannya tersendiri berbanding destinasi percutian lain. Ini kerana lokasinya yang strategik iaitu menghadap laut termasuk pemandangan Pulau Sembilan dan Pulau Pangkor," katanya.
Tambahnya, setiap calet yang dibina dengan menghadap laut adalah bagi membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah ketika matahari terbenam.
Selain itu, katanya, Coral Fishing Resort turut banyak menerima tetamu daripada peserta kursus atau seminar anjuran agensi kerajaan atau syarikat swasta.
''Selain itu, kami juga menyediakan kelengkapan untuk jamuan barbeku berdasarkan permintaan pengunjung," ujarnya.
Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang Coral Fishing Resort di http://www.coralfishingresort.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Untuk tempahan pula, orang ramai boleh menghubungi talian 016-5504888 atau Diana di talian 019-5144666.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20121117/pl_03/Coral-Fishing-syurga-kaki-pancing#ixzz2FHDay9US
© Utusan Melayu (M) Bhd
More Stories: http://gofishtalk.com/forum/topics/coral-fishing-syurga-kaki-pancing
No comments:
Post a Comment