DALAM usaha menghasilkan peta yang paling komprehensif, tepat dan boleh digunakan di mana sahaja di dunia, Google Maps baru-baru ini telah memperkenalkan imej panorama dasar laut pertama.
Dengan gambar-gambar memukau dan menakjubkan dunia dasar laut, pengguna boleh berenang antara terumbu karang yang berwarna-warni dan mengenali penghuninya dengan lebih dekat lagi.
Melalui imej dasar laut itu mereka tidak perlu menjadi seorang penyelam skuba - atau tahu bagaimana untuk berenang - untuk meneroka dan mengenali enam lokasi dasar laut yang paling luar biasa, yang terdiri daripada terumbu di Australia, Filipina, dan Hawaii.
Di Terumbu Penghalang Besar, sebuah tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) mereka boleh melihat penyu laut berenang di kalangan sekumpulan ikan, mengikuti ikan pari.
Pengguna juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai terumbu karang ini melalui Projek Keajaiban Dunia, sebuah laman web yang memaparkan tapak-tapak warisan dunia moden dan kuno di dalam talian.
Pulau Apo, sebuah kepulauan gunung berapi di Filipina, membolehkan aktiviti berenang dilakukan melalui kawasan rezab laut sambil melihat struktur karang keras yang menakjubkan.
Dan sertai para peserta snorkel di Hanauma Bay yang meliputi separuh kepulauan Pasifik, di Hawaii, dan terokai terumbu karang yang luas di Kawah Molokini.
Kajian Catlin Seaview, sebuah kajian saintifik utama tentang terumbu karang dunia, menggunakan kamera dasar laut yang direka khas, iaitu SVII, untuk merakam imej dasar laut yang mengagumkan.
''Kami telah bekerjasama dengan mereka bagi membolehkan imej-imej ini dipaparkan melalui ciri Street View pada Google Maps.
Kami sangat teruja untuk menjadikan lokasi dasar laut dapat diakses oleh berjuta-juta orang yang menggunakan Google Maps setiap hari ,'' kata kenyataan yang dikeluarkan Google.
Sama ada anda seorang ahli marin biologi, penyelam skuba yang aktif atau seorang yang tidak biasa dengan laut, syarikat berkenaan mahu pengguna menyelami dan meneroka lautan dengan Google Maps.
Dan anda sentiasa dapat meneroka lebih banyak imej dari seluruh dunia dengan melayari maps.google.com/streetview.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20121210/st_04/Rasai-pengalaman-menakjubkan#ixzz2FH9m4LLI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment