Tuesday, 2 July 2013

Keunikan percutian Ekopelancongan

 

Keunikan percutian Ekopelancongan
Bersiar-siar dipesisir pantai dengan kereta kuda pasti memberikab pengalaman berbeza.

Keunikan percutian Ekopelancongan
Bersiap sedia untuk aktiviti berkayak.
Pengalaman bermalam di sebuah resort yang tidak jauh dari Bandar Kuantan, Pahang benar-benar memberi seribu pengertian mengenai pentingnya memelihara alam semula jadi agar generasi akan datang turut berpeluang merasai keindahannya.

Terletak kira-kira lapan kilometer dari Pusat Bandar Kuantan, ia dikenali sebagai KempVille Beach Resort menawarkan pelbagai kemudahan riadah dalam suasana tenang yang dengan tiupan angin dari Laut China Selatan sesekali menghempas pantai cukup mendamaikan.

Dua hari berada di sini, penulis disajikan pemandangan cukup indah dan mempesonakan. Kempville ditubuhkan pada 2008, telah enam tahun beroperasi sebagai sebuah pusat pelancongan yang menarik sekitar Kuantan.

Sebelum ditubuhkan sekelilingnya adalah hutan yang ditumbuhi dengan pelbagai spesies flora dan fauna. Jadi agak mudah bagi pengurusan chalet ini mengekalkan suasana semula jadi hanya dengan memperindah persekitaran yang sedia ada menjadi landskap menarik sesuai untuk percutian.

Menurut pihak pengurusan di sini, sejak ditubuhkan enam tahun lalu setiap kali menjelang musim cuti sekolah tempahan untuk menginap di sini pasti akan penuh. Pengunjung dinasihatkan membuat tempahan awal bagi mengelakkan kesukaran mendapat chalet.

“Kempvalle yang terletak sedikit ke pedalaman amat sesuai bagi seisi keluarga, pasangan berbulan madu dan pelajar untuk meluangkan masa cuti di sini. Tidak lupa juga bagi mereka yang gemar memancing pastinya menjanjikan habuan lumayan,” katanya.

Jadi, tidak hairanlah setiap kali cuti hujung minggu atau cuti perlepasan Kempvalle sentiasa dipenuhi peserta atau keluarga yang menjalankan aktiviti masing-masing. Struktur geografi semula jadi Kempvalle juga menjadi daya penarik mengapa destinasi ini menjadi pilihan pengunjung dari serata Malaysia dan ada juga Singapura serta Brunei.

Kedudukan Kempvalle berhampiran laut dan muara sungai yang membentuk tasik menjadikan ia lokasi strategik bagi burung bermusim untuk berhijrah ke sini apabila perubahan cuaca berlaku di tempat mereka.

Spesies seperti bangau, enggang dan pelatuk yang jinak pasti akan menghampiri pengunjung. Bagi pasangan berbulan madu, suasana romantik matahari terbit dan terbenam pada petangnya sememangnya dijanjikan Kempvalle. Ia ibarat lokasi yang boleh menghilangkan tekanan sepanjang seminggu bekerja.

Chalet ala kampung harga berpatutan

Setiap kali percutian kita pasti akan merancang bajet sebaik mungkin. Bagi mereka yang berjimat cermat tetapi tidak ingin melepaskan peluang untuk bercuti semestinya Kempvalle adalah destinasi tepat untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Hanya dua jam pemanduan dari Terengganu dan enam jam dari Kelantan, Kempvalle adalah destinasi menarik di Pantai Timur yang boleh dilawati. Begitu juga pengunjung dari Kuala Lumpur boleh memilih lokasi ini untuk bercuti kerana jaraknya hanya tiga jam perjalanan.

Satu lagi keistimewaan di sini, selain suasana dan struktur geografinya yang menarik iaitu,  harga chalet yang ditawarkan juga berpatutan. Kadar chalet adalah dari RM70 hingga RM150 semalaman, termasuk sarapan pagi ala kampung.

Resort ini menyediakan empat jenis chalet untuk dipilih pengunjung. Semua chalet yang disediakan adalah berkonsepkan chalet ala kampung, iaitu lapan unit family suite, 16 unit  jenis superior, empat unit jenis deluxe dan 10 unit jenis standard.

Selain itu, terdapat juga kemudahan lain yang disediakan di resort ini, iaitu coffee house,  kemudahan bankuet dan barbeku (di tepi tasik). Oleh kerana harga murah dan lokasi yang menarik, pengunjung suka memilih tempat ini yang dianggap percutian nature sesuai dikongsi bersama keluarga mahupun rakan-rakan untuk bercuti.

Lubuk kaki pancing

Peluang menginap di Kempvalle tidak harus dilepaskan begitu sahaja, bagi keluarga yang ahlinya adalah kaki pancing ia ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ kerana di sini terdapat dua kolam memancing di mana ia adalah muara antara sungai dan air laut yang terdapat pelbagai spesies ikan.

Bagi kaki pancing di sinilah tempat sesuai selain merehatkan minda dari kesibukan kota, mereka boleh melepaskan gian untuk mencuba nasib menaikkan ikan-ikan besar yang selalunya terdapat di laut.

Pengunjung Azman Abdul Manaf, 50, berkata selalunya dia dan keluarga akan menghabiskan cuti hujung minggu dengan memancing di sini.

“Hanya membayar harga chalet jenis standard pada kadar RM70 semalam, kami anak beranak dapat meluangkan masa dengan hobi masing-masing. Isteri suka akan suasana di sini, anak-anak dapat bermain di pantai, jadi saya dapat memancing yang menjanjikan pengalaman menewaskan ikan-ikan di laut.

“Menjelang tengah hari makanan dan minuman tersedia dan kami juga diberi kesempatan untuk memasak sendiri dengan menyediakan kawasan untuk BBQ seperti ikan bakar, ayam sotong dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, keterujaan kaki pancing tidak dapat dibendung lagi apabila ada yang berjaya menaikkan spesies ikan laut tanpa perlu ke tengah laut, sekali gus dapat berkongsi kegembiraan dengan keluarga.

“Biarpun hobi berlainan tetapi peluang bercuti dengan suasana tenang di Kempvalle dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh ahli keluarga kerana selain dikhaskan untuk kaki pancing. Terdapat juga aktiviti riadah lain yang menarik untuk dicuba,” katanya.

Aktiviti riadah menjanjikan keseronokan

Percutian di resort dengan dikelilingi keindahan alam semula jadi dan pokok buah-buahan tumbuh subur cukup mendamaikan adalah pengalaman bermakna.

Setiap kita mempunyai hobi dan kegemaran yang berbeza, tetapi itu semua tidak menjadi masalah sepanjang menginap di Kempvalle, sambil bersantai bagi pengunjung yang suka aktiviti mencabar anda boleh memilih untuk berkayak dan menyusuri sekeliling tasik hingga ke muara dengan menaiki sampan disediakan khas buat penggemar aktiviti ini.

Terdapat juga permainan seperti bola tampar dan bola sepak pantai, selain dapat memancing di laut bersama nelayan tempatan. Atas permintaan juga pengunjung berpeluang selam skuba di Pantai Kempadang berdekatan dengan Resort Kempvalle, minimum untuk lima orang bagi satu perjalanan.

Walaupun terletak di kawasan perkampungan tetapi pengunjung pasti teruja apabila berpeluang menaiki kereta kuda dan menunggang kuda yang disediakan pengurusan resort.
 Pengunjung juga boleh merasai menaiki ATV untuk bersiar-siar sekitar pantai. Harga yang dikenakan amat berpatutan.



Source:  Sinarharian

No comments:

Post a Comment