Wednesday, 24 July 2013

Kelanang lubuk pari dan semilang


Oleh Zahari Jaafar
cikgu_zahari@yahoo.com
FAREZ menunjukkan pari beting 12 kg yang beliau tewaskan di perairan Kelanang.
FAREZ menunjukkan pari beting 12 kg yang beliau tewaskan di perairan Kelanang.





































BANTING: Kelanang dikenali sebagai kampung yang memiliki banyak jeti untuk kegunaan nelayan tradisional mencari rezeki di perairan yang kaya dengan pelbagai spesies ikan, bagaimanapun bagi kaki pancing di sinilah bermulanya penjelajahan menjejak banyak lubuk di Selat Melaka.
BANTING: Kelanang dikenali sebagai kampung yang memiliki banyak jeti untuk kegunaan nelayan tradisional mencari rezeki di perairan yang kaya dengan pelbagai spesies ikan, bagaimanapun bagi kaki pancing di sinilah bermulanya penjelajahan menjejak banyak lubuk di Selat Melaka.
Bagi penulis sebaik menerima jemputan seorang rakan, Farez untuk memancing di sini, ia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Penulis amat jarang memancing di sini, dan kali terakhir empat tahun lalu.

Perairan Kelanang memiliki banyak lubuk untuk kaki pancing dan sudah pasti spesies pari serta semilang menjadi pilihan, memandang kawasan persekitarannya dipenuhi pokok bakau serta lumpur.

Dengan bot gentian kaca yang dilengkapi enjin sangkut 30 kuasa kuda, penulis, Farez, Mat Hassan dan tekong Mat meninggalkan jeti Kelanang menuju muara bagi menjala udang untuk dijadikan umpan. Menurut Farez, ikan perairan Kelanang suka umpan hidup berbanding yang dibeli di pasar.

Selepas mendapatkan umpan yang mencukupi, kami bertiga bergerak ke lubuk pertama yang hanya 50 meter dari muara. Tidak sampai 15 minit, joran Farez disentap kuat hingga hujungnya mencecah air dan selepas beraksi hampir lima minit seekor senangin bersaiz sederhana didaratkan.

Ketika Farez sedang mengkarau kekili, penulis turut menerima ‘strike’ dan hasilnya seekor ikan senangin melekat di mata kail. Ternyata kami silih berganti menaikkan senangin dan keadaan menjadi sunyi sepi apabila diserang gerombolan ikan gelama dan sesirat yang mengganggu umpan.

Di lubuk kedua pula, kami diserang kumpulan semilang. Mat Hassan yang juga Pengarah sebuah jabatan kerajaan menjadi pemancing pertama menaikkan semilang. Tersenyum lebar beliau apabila semilang seberat tiga kilogram menggelepar di atas bot gentian kaca.

“Buat asam pedas sedap ni,” katanya.

“Iyalah... kalau dapat banyak ni boleh juga kita sedekah kepada jiran,” syor penulis.

Selang beberapa minit Farez pula berjaya menaikkan semilang satu kilogram. Penulis menerima satu sentapan yang kuat dan bernasib baik joran Fenwick yang dipadankan dengan kekili Shimano Ultegra 1000 tidak terjatuh ke dalam air. Kalau sudah rezeki tidak ke mana, penulis puas dengan seekor ikan semilang hampir dua kilogram.
Menjelang petang tekong bergerak keluar dari muara, kali ini sebuah beting pasir menjadi sasaran kami.

Menurut tekong beting pasir ini banyak dihuni ikan pari malah beliau tidak pernah pulang kosong setiap kali memancing di beting pasir ini. Farez dan tekong menaikkan ikan ketuka serentak.

Ketika leka bersembang, tiba-tiba kekili Daiwa BG Farez berdesing dengan tali mencurah-curah keluar daripada gelendung, dengan pantas beliau mengetatkan pelaras kekili bagi memperlahankan mangsa. Joran Ugly Stik 20 paun beliau tunduk maksimum ke laut, mangsa memberi tentangan habis-habisan.

Selepas 10 minit bertarung, akhirnya seekor pari beting muncul di permukaan air. Tekong Mat yang berpengalaman menggunakan tangan saja untuk mengangkat pari ke atas bot kerana ketiadaan gancu. Farez senyum girang dengan pari 12 kilogram yang berjaya ditewaskan.

Ternyata muara sungai Kelanang masih banyak dihuni ikan pari, senangin, tebal pipi, semilang, tetanda serta gelama. Yang penting pemancing perlu memilih masa yang sesuai untuk memancing di sini. Begitu juga penggunaan umpan turut memainkan peranan bagi memastikan tangkapan lumayan.


Source: Joran
More News:  www.GoFishTalk.com

No comments:

Post a Comment