Keindahan itu seakan kelihatan di dalam lukisan alam berlatarkan hutan menghijau sekali gus menyingkap realiti landskap Pusat Rekreasi Lata Lembik di Raub, Pahang. Keadaan itu cukup memberikan inspirasi buat pemuja alam semula jadi.
Terletak kira-kira 52 kilometer dari Kuala Lumpur dan memakan masa perjalanan hampir 50 minit dari bandar Raub, Lata Lembik pasti menjanjikan kepuasan buat mereka yang ingin melepaskan ketegangan daripada kesibukan kota.
Mempunyai daya tarikan tersendiri di kaki banjaran Titiwangsa bersempadankan Pahang dan Perak, meluangkan masa semalaman di pusat rekreasi terpencil dengan pelbagai tarikan alam mampu menjanjikan nikmat percutian yang berbeza.
Pengurusnya, Shamsudin Sulaiman, berkata, bagi mereka yang inginkan kelainan bercuti ditemani alam semula jadi, Lata Lembik merupakan lokasi pilihan.
Di sini, kami mengekalkan konsep penjagaan khazanah alam semula jadi dan tempat tinggal yang disediakan menjanjikan kelainan kerana kemudahan dan kelengkapan di sini adalah yang terbaik.
Selain itu, kemudahan tempat tinggal yang mungkin tidak terdapat di mana-mana iaitu rumah di atas pokok dan rumah di dalam tanah akan dibina selewat-lewatnya Jun ini. Konsep ini adalah yang pertama di Malaysia dan diyakini menjanjikan kepuasan kepada mereka yang gemarkan kelainan," katanya kepada .com.
Bagi penggemar aktiviti lasak yang mencabar, Lata Lembik menawarkan cabaran berjalan di atas tali selebar kurang dua sentimeter dengan ketinggian 10 meter. Aktiviti itu memang cukup menggerunkan tetapi pastinya menjanjikan kepuasan.
Air deras di bawah laluan bertali itu tidak sedikit pun mematahkan semangat penulis untuk terus meniti tali tersebut. Malah penulis begitu teruja untuk menikmati kedinginan dan kejernihan air terjun yang dikelilingi pelbagai jenis pokok hutan serta buah-buahan.
Andai mahu menguji kekuatan fizikal dan mental, lakukan juga aktiviti berakit arus deras di Sungai Lipis yang ekstrem. Ia pasti menguji kemampuan kamu dalam mengharungi kuasa alam semula jadi di sungai.
Di situ juga kamu berpeluang mencabar diri dengan melakukan aktiviti flying fox sejauh 200 meter dan abseiling dari ketingggian 30 meter.
Selain itu, pelbagai lagi aktiviti yang mampu merangsang adrenalin kamu turut disediakan termasuk aktiviti skywalk, tunnelling, meredah hutan, memanjat pokok serta menunggang ATV di kawasan berbukit.
Pusat rekreasi itu mampu memuatkan kira-kira 500 pengunjung dalam satu-satu masa dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pakej untuk hari keluarga dan kursus, calet, tapak perkhemahan, tandas, surau, dewan serba guna serta tempat barbeku.
Dari segi keselamatan pula, jangan gusar kerana terdapat 16 kamera litar tertutup (CCTV) yang sentiasa memantau keselamatan kamu.
Jika berlaku kecemasan, bantuan segera akan diberikan oleh petugas di stesen terdekat.
Sistem penggera keselamatan yang berfungsi mengesan tahap kedalaman air yang menepati piawaian antarabangsa juga dipasang di kawasan sungai dan jeram sebagai persediaan awal untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Penulis difahamkan, jika paras air di jeram berkenaan melebihi paras selamat, penggera keselamatan akan berbunyi dan pengunjung akan diarahkan keluar dari kawasan berair dalam masa tidak kurang dari lima minit.
Sistem pengesanan haiwan juga dipasang bagi memantau pergerakan haiwan liar yang mungkin menghampiri taman rekreasi berkenaan. Oleh itu, soal keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan dan tiada kompromi. - SYAHRIL/NASIRRUDDIN YAZID
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rekreasi/20130420/rk_03/Taman-rekreasi-berlatarkan-hutan-menghijau#ixzz2RRlep8Km
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment