Sunday, 28 April 2013

Kaloi Rompin




ROMPIN: Selepas dikecewakan sang sebarau, penulis dan rakan menukar sasaran mencari kalui. Seingat penulis, dua gewang saiz 9 lesap digasak sebarau bagak menyebabkan stok gewang, habis.Perjalanan kali ini ke Lubuk Lais di mana lokasi itu kebanyakan dipenuhi reba dan kayu yang tenggelam di dasar sungai. Ini potensi besar bagi menjerat spesies itu. Bukan itu saja, baung boleh dipancing di tempat sama menggunakan umpan peram atau perumpun. Perlu diberi perhatian, jika berhajat menjerat sang kalui maka tali utama yang digunakan mesti melebihi 20 paun, manakala perambut antara 30 hingga 40 paun.
.
Ini bagi mengelakkan tali atau perambut putus ketika bertarung dengan mangsa.Setibanya di tempat yang dituju, sauh dilabuhkan. Pancingan pun bermula dengan umpan cebisan kelapa sawit. Hampir satu jam penantian dengan penuh sabar bagi memujuk sang kalui meragut umpan. Getuan kecil mula kelihatan. Inilah tabiat kalui ketika memakan umpan yang dilabuhkan.Penulis menunggu getuan yang agak kencang sebelum membuat sentapan balas supaya umpan yang dikunyah betul-betul ditelan mangsa. Rembatan kuat dilakukan. Nyata hujung tali terasa berat.
.
Mangsa melawan dengan membuat larian kencang menuju ke reba. Walaupun sistem seretan dikunci ketat, namun mangsa berjaya menyusup ke reba. Hampa bila tali perambut berkekuatan 20 paun berjaya diputuskan mangsa. Seketika kemudian rakan Ahmad Bahari pun menerima nasib sama. Perambut ditingkatkan kepada 40 paun. Kalui seakan mencabar kerana kami sangkakan tidak akan ada lagi getuan selepas itu seperti kebiasaannya. Kali ini joran ditarik rakus walaupun tiada getuan ditunjukkan langsung. Sentapan kuat dibuat. Berlaku pertarungan hebat hingga lenguh otot bahu dan pergelangan tangan.
.
Terasa kalui ini terlalu besar dengan daya juang yang tinggi dan enggan menurut tarikan tali supaya berentap di pertengahan sungai. Namun setelah beberapa teknik memujuk dengan menghenjut joran perlahan-lahan, mangsa akhirnya akur dan berjaya ditarik keluar dari kawasan reba. Kalui seberat 5.69 kilogram berjaya ditawan. Ini adalah antara mangsa yang terbesar pernah diperoleh setakat ini.Berbanding dengan dua tahun lalu, rekod tangkapan ikan bersaiz besar makin berkurangan. Kemungkinan kerap kali dituba atau ambai haram yang menjerat baka ikan ini daripada membiak. Justeru, komitmen pemancing terhadap pemeliharaan khazanah sungai amat dihargai supaya sumbernya berkekalan selamanya.
.
Dipetik daripada Akhbar Joran, Berita Harian

No comments:

Post a Comment