Oleh Mohammad Shamwen Hashim
bhnews@bharian.com.my
2012/03/09
SEEKOR kerisi bali seberat 11 kilogram berjaya dinaikkan menggunakan teknik apollo.
BAGI pemancing tegar yang sering berkunjung ke seluruh pelosok dunia tentunya tidak akan melepaskan peluang menduga 'lubuk terbilang' sekitar terumbu karang di Burma Bank, Myanmar.
Sasaran utama semestinya spesies yang jarang didapati di perairan kita seperti kertang atau panggilan popularnya kertang India dan kerisi bali (ruby snapper) di samping tuna sirip kuning dan tuna gigi anjing.
Spesies marlin biru atau hitam pula adalah ikan bonus jika kaki pancing berkesempatan bertempur dengannya.
Akhir November lalu, satu ekspedisi diatur penulis bersama sekumpulan kaki pancing mengharungi perjalanan berjam-jam bermula dari sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum sampai di Ranong, Thailand.
Selepas bermalam di sebuah chalet di tepi pantai yang indah, keesokan paginya peserta menaiki bot Polaris One yang sedia menanti, perjalanan diteruskan ke bandar nelayan yang bersempadan dengan Thailand-Myanmar, iaitu Kawthaung menerusi jalan laut.
Segala urusan pasport dan permit memancing dibereskan di sini. Setiap pemancing akan dikenakan permit memancing sebanyak AS$120 (RM456) seorang.
Kemudian, seorang pegawai pelancongan Myanmar akan ditugaskan berada bersama-sama pemancing di atas bot sepanjang tempoh memancing atas faktor keselamatan.
Perjalanan ke terumbu karang Burma Bank mengambil masa lebih kurang 10 jam. Ada lubuk yang cetek dan ada lubuk yang sangat dalam sehingga 300 meter.
Lubuk-lubuk ikan yang berbukit-bukau ini memang menyimpan pelbagai khazanah bernilai seperti ‘permata hitam’ dan permata merah’ merujuk kepada kertang India dan kerisi bali.
Selain itu, pelbagai spesies tuna dan kerisi banyak menghuni lubuk terbilang ini. Antara yang menjadi buruan di lubuk cetek adalah spesies aji-aji (amberjack), kerisi basi (green jobfish), kerapu bara dan ikan merah (Chinaman).
Pelbagai teknik dapat dipraktikkan di sini. Teknik jigging paling popular kerana mudah memerangkap penghuni dasar yang gemar makan menyambar.
Namun begitu, terpaksalah mengunjun besi jig seberat 300 gram agar tidak tersasar dari lubuk. Mata kail pula tidak kurang daripada saiz 6/0 hingga 9/0 yang mesti kuat dan tidak mudah bengkok.
Lebih mudah memancing menggunakan kekili elektrik dengan teknik pancingan apollo berumpankan hirisan isi ikan tongkol.
Pancingan lebih santai dan hasil juga pasti lumayan. Hasil tangkapan memang berbaloi kerana harga ikan di pasaran kini cukup tinggi.
Kertang hitam jika ditolak kepada peraih boleh mencecah RM50 hingga RM80 sekilogram begitu juga dengan kerisi bali yang tidak kurang hebat nilai pasarannya.
Spesies tuna sudah tentu lebih mahal lagi. Kehebatan penghuni Burma Bank yang seolah-olah tidak kehabisan stok membuatkan kumpulan penulis sejak beberapa tahun lalu menyusun trip tahunan pada setiap cuti hujung tahun.
Source: Berita Harian
No comments:
Post a Comment