Tuesday, 13 August 2013

Renung maksud laut dalam ayat 20 surah al-Quran



AYAT 41 Surah Ar-Rum (30:41) yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki supaya manusia merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).”
AYAT 41 Surah Ar-Rum (30:41) yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki supaya manusia merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Sang Bedal sangat tertarik dengan ayat ini yang mengaitkan betapa tangan manusialah yang mengheret kepada kebinasaan dunia sama ada di laut mahupun di darat. Kemusnahan di laut termasuk keangkuhan kegiatan pencerobohan zon pantai oleh bot tertentu. Kegiatan mengebom untuk mendapatkan ikan karang. Dan, kaedah memukat yang memusnahkan lantai laut. Ini belum dicampur dengan perbuatan membuang sisa minyak, lumpur gris dan segala sisa industri ke dalam laut yang berlaku secara tersembunyi atau terang-terangan.

Dalam al-Quran ada 24 surah yang menyebut pasal laut. Antaranya, Ar-Rum yang mengesahkan bencana hari ini adalah angkara tangan kita. Kes pemanasan global, kecairan glasiar di kutub selatan dan utara serta kenaikan paras air yang bakal menenggelamkan beberapa peratus muka bumi adalah antara bencana akibat tangan manusia. Allah lebih awal menyatakan atau memberi amaran perihal kerosakan akibat tangan manusia ini melalui al-Quran.


Kapal juga dicipta Allah dengan sifat tunduk kepada-Nya. Surah Ibrahim, ayat 32 (14:32) menyatakan mengenai kekuasaan Allah menundukkan kapal supaya boleh belayar. Allah juga menegaskan betapa air laut jika dijadikan tinta (dakwat) pun masih tidak mencukupi untuk menulis kalimat-Nya bahkan jika air dituang lagi supaya sama dengan yang ada pun masih tidak mencukupi untuk menulis kalimat itu.

Surat Yunus (10:22) pula menceritakan kisah gelombang dan ribut di lautan. Dan, mungkinkah ayat 22 ini boleh dijadikan doa untuk memohon kepada Allah supaya dihindarkan daripada bencana itu ketika di laut? Sang Bedal menyarankan pemancing merujuk kepada yang bijak pandai untuk memastikannya.

Memang banyak ayat yang mengisahkan kekuasaan Allah membelah Laut Merah bagi membolehkan Bani Israil menyeberanginya untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman Firaun. Kisah khasiat daging segar (ikan) juga dinyatakan Allah dalam al-Quran dan membuktikan betapa ikan adalah antara anugerah-Nya yang tidak ternilai. Dari segi sumber protein untuk manusia serta sudut keseimbangan bio, habitat dan rantai makanan; ikan ternyata elemen sangat penting dalam kehidupan. Tetapi apakah yang kita sudah lakukan kepada ikan, habitat serta kelangsungannya? Semua angkara tangan manusia...

Surah lain yang menyebut soal laut antaranya, An-Nahl, Al-Isra’, Al-Kahf, Taha, Al-Hajj, An-Nur, Al-Furqan, Asy-Syu’ara, An-Naml, Luqman, Fatir, Asy-Syura, Ad Dukhan, Al-Jasiyah, At-Tur, Ar-Rahman, At-Takwir, dan Al-Infitar.

Al-Quran juga menyebut mengenai kepentingan gunung-ganang (dan bukit) yang bertindak untuk memantapkan bumi. Ia dianggap seperti pasak atau paku yang menyatukan bumi. tetapi lihatlah bagaimana gunung dan bukit diratakan. Ia bukan saja merosakkan habitat di darat dan sumber malah sungai termasuk ikan di dalamnya.

Renungkanlah...



Source:  Joran

No comments:

Post a Comment