Sunday, 3 March 2013

Orang tua, harimau tepok jaga tasik Bukit Koman

 

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Photo Credit:  Google Images

SEKITAR 1960-an, kawasan tertentu di Raub, Pahang menjadi sarang gerombolan komunis termasuk bekas lombong emas di Bukit Koman. Tempat itu sering dikunjungi anggota pengganas terbabit untuk mengambil air dan memancing.
SEKITAR 1960-an, kawasan tertentu di Raub, Pahang menjadi sarang gerombolan komunis termasuk bekas lombong emas di Bukit Koman. Tempat itu sering dikunjungi anggota pengganas terbabit untuk mengambil air dan memancing.

Sesekali mereka dilihat muncul di tepian bekas lombong seakan-akan tasik itu untuk memancing. Antara ikan yang menghuni di situ ialah kaloi, puyu, haruan dan keli. Penduduk yang memancing di situ jarang pulang dengan tangan kosong. Habis tidak pun tiga atau empat ekor kaloi dijinjing pulang, cerita Wang Chik.

Mengimbas kenangan memancing di situ sekitar 60-an, Wang Chik (bukan nama sebenar) mengakui ketika itu ada antara penduduk pekan kecil terbabit yang majoriti dihuni masyarakat Tionghua pernah terserempak dengan gerombolan komunis memancing dan mandi.

Pun begitu, katanya, dia dan dua rakan sebaya iaitu Boon Chai dan Bakri sesekali mencuri masuk ke lubuk itu kerana mahu menguji kegelojohan haruan dan kaloi meratah umpan.

Kenakalan tiga rakan tinggal berjiran itu sering mengunjungi tasik terbabit yang jika nasib kurang bernasib baik boleh mengundang risiko; membuatkan ibu bapa mereka naik angin.

Kesan lebam di telinga kanan Wang Chik dipulas ibunya membuktikan kedegilannya mengetepikan nasihat ibunya.

Bagi Wang Chik yang ketika itu menjangkau usia 18 tahun, ada sesuatu yang lebih merangsang dirinya untuk ke tasik itu. Dia tetap ke situ selagi apa yang dihajati belum kesampaian.

Dia tidak akan menceritakannya kepada sesiapa pun, melainkan apa yang diidamkan itu tertunai.

Pada hari itu, Sabtu jam 8.30 pagi, tiga serangkai ini dengan menggunakan tipu muslihat sekali lagi berjaya menyelinap ke lokasi yang sering mereka kunjungi itu. Cuma mengambil masa kira-kira 15 minit memandu kereta Datsun model 1960 yang dipandu Boon Chai, lokasi diidamkan berada di depan mata.

“Cuaca hari itu redup tetapi sehingga jam 11 pagi, tiada seekor ikan pun menyentuh umpan. Kami mula berasa bosan dan bersiap-siap mengemas peralatan untuk pulang.
“Namun, sebaik saya bangkit, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an muncul dari rimbunan pokok senduduk sambil membuang sesuatu ke dalam tasik. Orang tua tepuk (cacat) kaki kanan itu rasanya pernah saya temui di Sega tapi tak ingat bila,” cerita Wang Chik lagi.

Tidak lama selepas lelaki berusia melepasi setengah abad itu menabur sesuatu ke dalam bekas lombong, hujan agak lebat membasahi persekitaran. Ketika air tasik berkocak disiram hujan, kelihatan ikan rancak menyambar sesuatu.

Ada harapan nampaknya, itu ungkapan yang terdetik dalam hati Wang Chik.

Boon Chai dan Bakri kelihatan kalut mengenakan semula umpan pada kail masing-masing. Habuan pertama diperoleh apabila Boon Chai yang menggemari haruan, teruja dengan seekor haruan sebesar betis menggelupur di hujung kail.

Kali ini, nasib Wang Chik kurang menyerlah. Kailnya cuma mampu menjinakkan dua kaloi dan seekor puyu sebesar tiga jari sedangkan Bakri dan Boon Chai bagaikan berpesta ikan dengan tangkapan cukup lumayan untuk dijamu seisi keluarga.

“Pak cik tak berputus asa lalu beredar kira-kira 50 meter dari lokasi asal. Sambil memancing, mata melilau mengawasi persekitaran. Takut juga, manalah tahu sedang asyik memancing, harimau menyeringai di sebelah.

“Di situ pun kail pak cik kurang menjadi. Tangkapan yang dinaikkan dua ekor anak kaloi bersaiz tiga jari seakan-akan menguji kesabaran pak cik,” cerita Wang Chik lagi.

Wang Chik yang kini berusia 66 tahun dan menetap di Kampung Paya, Kota Kuala Muda menganggap peristiwa pernah dialami ketika remaja itu paling berharga baginya. Sukar baginya untuk melupakannya.

Kesan dua tapak kaki harimau yang dijumpai di tepi tasik berhampiran tempat dia menaikkan anak kaloi itu juga menghairankannya. Adakah tasik itu menjadi tempat harimau mandi atau minum?

Namun, persoalan itu terjawab ketika Wang Chik membuka pintu bahagian hadapan kereta Boon Chai sewaktu mereka mahu meninggalkan bekas lombong emas itu. Enam baung sebesar lengan yang dibungkus daun pisang menggeletek di tempat duduk sebelah pemandu.

Hasrat Wang Chik mahu membuktikan kepada penduduk pekan berkenaan yang tasik itu dihuni pelbagai spesies ikan termasuk baung kesampaian. Cemuhan penduduk menyatakannya budak mentah terpalit ke muka mereka sendiri.

Melihatkan kejayaan Wang Chik membawa pulang baung, seorang penduduk bertanya sama ada dia ada didatangi seorang lelaki tua tepuk ketika memancing di tasik itu. Ini kerana, penduduk itu mendakwa apa yang berlaku ke atas Wang Chik sama seperti pernah dialaminya.

Penduduk itu yang hampir putus asa bagi mendapatkan seekor patin untuk sajian isterinya yang mengandung anak sulung, akhirnya kesampaian apabila memancing di tasik bekas lombong itu selepas diberi sebatang rokok daun oleh seorang lelaki tua yang kaki kanannya tepuk.

Cerita lain lebih menarik ialah pernah sekumpulan enam pemancing yang datang ke tasik itu untuk menuba disergah dan diekori seekor harimau berbadan sasa yang sebelah kakinya tepuk. Dua hari selepas kejadian itu, tiga daripada mereka mengalami sakit misteri dengan meratah ikan mentah.

Apa pun, pelbagai andaian dibuat, ada yang yakin harimau itu jelmaan lelaki tua yang menjaga kawasan berkenaan.

Ada pula yang membuat andaian haiwan itu cacat mungkin terkena jerat atau perangkap dipasang komunis. Bagi Wang Chik, kegagalannya menjejak lelaki tua itu yang pernah bertemu di Sega menganggap itu semua berlaku atas kehendak Allah.

“Tasik itu menyimpan pelbagai misteri tersendiri. Pernah juga pak cik dengar cerita tasik itu ghaib tidak ditemui, mungkin yang datang ke situ dengan niat tidak baik.

No comments:

Post a Comment