Friday 30 May 2014

KEINDAHAN FLORA DAN FAUNA DI AIR TERJUN JERANGKANG


PAHANG amat kaya dengan keindahan alam semula jadi flora dan fauna yang berpotensi dieksploitasi bagi tujuan peningkatan ekonomi penduduknya.
Dua tasik semula jadi iaitu Tasik Bera dan Tasik Chini serta 25 hutan lipur dan lapan air terjun di negeri ini sering menjadi kegilaan pencinta alam untuk berkelah, berekreasi dan bersantai bersama rakan serta keluarga.
Bagi tujuan bersantai dan berekreasi di hujung minggu atau hari kelepasan am, para pencinta alam semula jadi dan yang berjiwa adventure biasanya akan memilih beberapa lokasi air terjun di negeri ini untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Antaranya lokasi Air Terjun Jerangkang yang terletak berdekatan dengan Kampung Gelugor, Maran.
Walaupun masih terdapat lokasi air terjun lain seperti Air Terjun Berkelah, Air Terjun Sungai Pandan, Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, Air Terjun Chamang (Bentong), Air Terjun Lata Jarum, Air Terjun Pulau Chekas (Raub), Air Terjun Teladas dan Air Terjun Lubuk Yu, namun kunjungan ke Air Terjun Jerangkang pastinya meninggalkan kenangan yang tersendiri.
Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur untuk ke Maran.
Setibanya di Masjid Kampung Gelugor, yang merupakan lokasi pintu masuk ke Air Terjun Jerangkang, pengunjung perlu menggunakan perkhidmatan jentera 4×4 yang biasanya disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke sana.
Kebanyakan jentera 4×4 hanya boleh memuatkan enam orang pengunjung bagi setiap perjalanan. Ada juga kumpulan penggemar rekreasi memilih menaiki lori yang boleh memuatkan lebih banyak penumpang.
Perjalanan masuk ke Air Terjun Jerangkang bakal membawa pengunjung merentasi kawasan ladang getah dan hutan belantara selama hampir setengah jam.

No comments:

Post a Comment