Tempat ini terletak bersebelahan dengan PPR Sri Johor di Cheras. Untuk makluman anda ia terletak berdekatan dengan Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak. Saiznya berbanding dengan Tasik Permaisuri teramat besar akan tetapi kualiti airnya sangat kurang memuaskan. Sewaktu kami di sini kami langsung tidak berselera untuk memancing di perairan ini.
Sebagai permulaan jangan tertipu dengan papan tanda di luar. Sebenarnya di dalam kawasan ini kami lihat ramai orang sedang mencari ikan. Akan tetapi ikan ditangkap menggunakan jaring. Kami hanya jumpa dua orang pengail sahaja pada waktu itu.
Kami juga terjumpa dua pondok rehat didirikan khas oleh penjaring untuk mereka berehat sewaktu tidak menjaring ikan. Pondok-pondok ini dibina dengan amat baik dan apabila perlu, cukup selesa untuk bermalam di sini.
Spesis ikan yang menjadi sasaran di perairan ini adalah ikan talapia. Pusat tadahan banjir ini penuh dengan ikan ini. Boleh dikatakan perairan ini sangat padat dengan ikan ini.
Kualiti ikan ini dikhuatiri. Air kawasan ini penuh dengan sampah dari longkang sekitar cheras dan berbau sangat busuk sekali. Amat membimbangkan apabila ikan ini dibekalkan ke pasar besar Pudu. Adalah dinasihatkan untuk mengelak dari membeli Tilapia dari pasar tersebut atau mana-mana pasar besar yang berdekatan dengan tempat ini.
Ikan lain seperti haruan dan toman boleh juga dijumpai di sini. Akan tetapi ikan tersebut hanya berlegar di kawasan tengah pusat ini. Amat sukar sekali jika anda ingin membuat tangkapan dari darat. Masalah ini diselesaikan oleh beberapa warga asing yang sering ke sini.
Tempat ini mempunyai struktur yang menarik. Tetapi tidak banyak gunanya sekiranya ia bergelimpangan dengan sampah. Agak bagus sekiranya pihak yang menjaga tempat ini berkongsi dengan kita bagaimana sampah yang masuk ke tempat ini dikawal atau dikitar semula.
Apakah kawasan ini dijadikan kawasan larangan untuk menyorok kekurangan kebolehan atau menjaga keselamatan awam? Ini salah suatu soalan yang sering main di dalam pemikiran kita.
Buat waktu ini sekiranya anda ingin memancing ikan untuk dimakan adalah disyorkan untuk mengelak ikan dari air ini. Kalau boleh cubalah untuk menangkap ikan talapia dari tempat yang airnya agak bersih dan segar. Memancing dalam perairan sebegini hanya memudaratkan kesihatan dan merosakkan barangan pancing anda.
No comments:
Post a Comment