PANGKALAN jeti nelayan di Kuala Dulang Kecil, Yan Kedah, sudah tidak asing lagi bagi ramai pemancing yang menggemari teknik casting (melontar umpan). Jika musim tenggiri mengamuk, kawasan tempat meletak kenderaan sesak di segenap ruang.
PANGKALAN jeti nelayan di Kuala Dulang Kecil, Yan Kedah, sudah tidak asing lagi bagi ramai pemancing yang menggemari teknik casting (melontar umpan). Jika musim tenggiri mengamuk, kawasan tempat meletak kenderaan sesak di segenap ruang.
Seawal jam 6 pagi, jeti yang sempit mula menerima kunjungan pemancing yang bertali arus semata-mata ingin merasai amukan tenggiri. Jeti Kuala Dulang Kecil menempatkan bot nelayan kecil sesuai untuk dinaiki 4 hingga 6 pemancing tetapi kebanyakannya menggunakan enjin kuasa kuda besar.
Halim Ismail, 36, berasal Yan Kedah menjadikan Kuala Dulang sebagai tempat tumpuan kaki pancing dan nelayan. Penulis yang berkesempatan mencuba khidmat Halim baru-baru ini, puas hati dengan kerjasama yang diberikan walaupun dalam cuaca tidak menentu.
Tekong Halim cukup rajin dan sentiasa berusaha mendapatkan tenggiri untuk pelanggan. Setiap waktu digunakan sepenuhnya supaya usaha beliau menjadi inspirasi pelanggan untuk turut sama berusaha memancing. Menjerat tenggiri di sini memerlukan seseorang melakukan casting berterusan kerana spesies ini tidak memilih waktu untuk membedal umpan asalkan hidangan sentiasa berada di wilayahnya.
Jika musim memuncak, beliau keluar lebih tiga kali seminggu untuk memenuhi tuntutan pelanggan yang kebanyakan taksub dengan penangan dan kelincahan tenggiri merembat umpan. Malah ramai kumpulan pemancing mendapat habuan lebih besar apabila hasil tangkapan boleh mencecah ribuan ringgit untuk tempoh setengah hari memancing. Sebab itu, pemancing menggunakan sepenuhnya peluang yang ada selain puas memancing. Kos memancing ditampung dengan hasil jualan tenggiri yang mencecah RM16 sekilogram.
Bot Halim Dulang biasanya membawa pemancing ke lokasi tumpuan iaitu unjam buluh (tuas) dan lokasi kapal karam. Perjalanan ke sana memakan masa hampir 40 minit . Unjam itu yang diusahakan bersama rakannya dan akan ditambah tiga bulan sekali kerana ia hanya bertahan kurang empat bulan sebelum reput dan tenggelam sebagai tukun. Untuk ke kapal karam, akan mengambil masa hampir sejam.
Tenggiri di situ mudah diperdaya dengan teknik casting menggunakan umpan ikan pelaling mati. Ia dipasang dengan mata kail bersaiz 3/0 hingga 4/0. Seekor ikan umpan kebiasaannya dipasang tiga atau empat mata kail. Perambut kabel 30 paun perlu digunakan bagi mengelak putus digigit spesies bergigi tajam itu. Di hujung mata kail diikat ladung kecil dan pengilat kecil berwarna merah. Ladung bertujuan menenggelamkan umpan manakala pengilat merah akan berputar ketika dikarau. Warna merah dan kilat berperanan memikat tenggiri supaya menyambar umpan dengan rakus.
Selain umpan mati, umpan ikan hidup dari unjam juga lebih cepat memikat tenggiri. Selain itu, sotong plastik dan jig bulu ayam juga boleh digunakan ketika casting. Keterangan, hubungi Halim Tuas: 019-5577406.
Source: http://joran.bharian.com.my/Current_News/Joran/News/Tekong/20080202121001/Article/index_html
No comments:
Post a Comment