Potensi, Halangan Dan Cabaran
Oleh : Dato' Abdul Hamid : Pancing
Apakah 'sukan memancing?' Secara mudah 'sukan memancing' adalah menangkap ikan dengan menggunakan mata kail, tali dan joran sebagai satu rekreasi. Menggunakan tali dan mata kail tanpa joran tidak termasuk dalam istilah ini kerana ia 'tidak sporting'. Menangkap ikan walaupun dengan mata kail, tali dan joran, untuk tujuan komersial juga tidak termasuk dalam istilah ini kerana ia sudah menjadi satu mata pencarian. Dalam rencana ini saya cuma akan menyentuh mengenai memancing di laut sahaja.
Adalah amat ketara bahawa sukan memancing telah menjadi amat popular di Malaysia terutama sekali dalam tempoh lima tahun yang lepas. Di Seminar Memancing dan Eco-Tourism di Universiti Malaya pada 31 Mac 1997, Nik Mustapha Abdullah dari Jabatan Ekonomi dan Urusan Sumber Asli, Universiti Pertanian Malaysia menganggarkan bahawa jumlah pemancing di Malaysia adalah 'lebih dari sejuta orang.'
Saya tidak berani mengatakan sama ada anggaran itu betul atau tidak. Tetapi berdasarkan sambutan yang diberi kepada Joran, Rod & Line dan terbarunya, Pancing, berdasarkan kepada banyaknya pertandingan-pertandingan memancing yang diadakan setiap bulan dan bilangan pesertanya, berdasarkan kepada jumlah kolam-kolam memancing komersial yang dibuka di seluruh negara akhir-akhir ini, berdasarkan bilangan kedai-kedai menjual alat pancing yang baru dibuka dan bilangan pembeli yang mengunjunginya, tidak ada keraguan bahawa sukan ini amat popular sekarang.
Berapakah nilai perniagaan dan perusahaan ini? Penulis yang sama memberi angka-angka berikut :
- Di Amerika Syarikat industri sukan memancing dianggarkan bernilai lebih kurang RM63 billion setahun (mengikut kadar tukaran wang lama).
- Di Australia sukan memancing memperolehi lebih kurang RM3.6 billion dalam tahun 1993
- Di Malaysia, satu kajian yang dibuat oleh Persatuan Peniaga Peralatan Sukan Memancing Eropah baru-baru ini menganggarkan nilai tahunan industri pancing melebihi RM1 billion
Saya ingin mengajak pembaca mengambil satu pendekatan yang mudah. Kita ambil satu pertandingan memancing. Nilai ikan yang memenangi hadiah pertama, biasanya seekor ikan pari, jika ia di tangkap oleh seorang nelayan dan dijual di pasar, nilainya mungkin tidak melebihi RM20. Dalam satu pertandingan memancing, apabila ia dipancing oleh seorang pemancing, ikan yang sama boleh membawa hadiah bernilai RM3000 atau RM5000 kepada pemancing itu.
Ambil jumlah ikan nilai ikan-ikan yang berjaya dipancing dalam sesuatu pertandingan, berapakah jumlah wang yang dikeluarkan (generated) oleh ikan-ikan itu? Jika seribu orang peserta menyertai pertandingan itu dan seorang membayar RM50 sebagai bayaran penyertaan, Jumlahnya ialah RM50000. Bagaimana dengan lain-lain perbelanjaan seperti untuk perjalanan, hotel, makanan, umpan dan lain-lain?
Menurut satu rencana yang bertajuk TCE Berwajah Baru oleh Teh Chee Meng dalam majalah Pancing keluaran Disember 1997, Piala Raja Memancing Pantai Remis yang diadakan baru-baru ini menawarkan hadiah berjumlah RM60000. Patut diingati pertandingan itu hanya satu pertandingan di tepi pantai dan kebanyakkan hadiah dimenangi oleh ikan pari sahaja.
Baru-baru ini satu pertandingan memancing air tawar diadakan di Tasik Bukit Merah, Perak. Ia menarik 1200 orang peserta yang membayar RM80 bayaran penyertaan seorang. Jumlah bayaran penyertaan sahaja adalah sebanyak RM96000. Ini belum termasuk bayaran untuk perjalanan (peserta-peserta datang dari seluruh Semenanjung Malaysia), hotel, makanan, umpan dan lain-lain.
Hadiah pertama dalam pertandingan itu yang bernilai RM10000 dimenangi oleh seekor ikan toman seberat lebih 3kg yang biasanya tidak melebihi RM20 harganya. Malah disuatu pertandingan di Kelantan, seekor ikan buntal yang tidak boleh dimakan dan tak ada harga pun memenangi hadiah!
Setiap pemancing akan mengakui bahawa adalah lebih mahal memancing ikan daripada membeli ikan. Seekor ikan gelama yang dipancing mungkin bernilai RM10 jika dikira wang yang dikeluarkan oleh pemancing itu untuk mendapatkannya.
Seorang rakan saya pergi memancing ke Pulau Jarak. Dia membayar RM450 untuk bot sahaja, tidak kira lagi perbelanjaan perjalanannya dari Pulau Pinang ke Lumut dan balik, makanan, umpan dan lain-lain. Dia cuma mendapat seekor ikan gerut-gerut yang beratnya lebih kurang setengah kilogram. Dia tidak serik. Malah saya belum temui seorang pemancing sukan yang serik atau tidak mahu memancing lagi kerana 'tidak balik modal.'
Ikan suji (marlin) tidak ada nilai komersial sebagai makanan. Tetapi pemancing mengeluarkan beribu-ribu ringgit, pergi beribu-ribu batu untuk memancing dan melepaskannya semula. Mungkin dia tidak berjaya mendapatnya pun!
Selain daripada itu adalah menjadi satu kebiasaan kita mendengar berita rakan-rakan yang hendak pergi atau baru balik dari memancing di luar negara seperti Thailand, Indonesia, Papua New Guinea, Maldives, Christmas Island, Australia dan lain-lain. Kisah Aznir Malik dan rakan-rakannya yang pergi memancing ikan mahseer di Sungai Cauvery, India yang disiarkan dalam majalah Pancing baru-baru ini adalah satu misalan. Bayangkan berapa banyak perbelanjaan yang mereka keluarkan sedangkan tidak seekor ikan pun yang mati, semuanya dilepaskan semula.
Bagi saya semua ini menunjukkan bahawa, pertama, banyak wang dibelanjakan untuk membeli peralatan memancing. Mengikut rencana oleh Teh Chee Meng yang kepadanya saya telah merujuk sebelum ini, satu syarikat sahaja iaitu TCE Tackles Sdn. Bhd. menjual peralatan memancing bernilai RM20 juta dalam tahun 1996. Kedua, banyak wang yang dibelanjakan untuk pergi memancing seperti kos perjalanan, penginapan, makanan, umpan, sewaan bot dan lain-lain.
Saya percaya sebahagian besar daripada wang yang dibelanjakan oleh pemancing-pemancing sukan pergi ke luar negara. Dengan masalah ekonomi yang sedang kita hadapi, mungkin ada baiknya kita mula berfikir dengan serius dan segera tentang cara-cara bukan sahaja untuk menahan Ringgit Malaysia mengalir keluar negara, biasanya melalui Dolar Amerika, tetapi juga untuk cuba menarik masuk wang dari negara-negara luar, melalui sukan memancing.
Kita tahu bahawa kebanyakkan kekili (reels), joran, gewang (lures) tali, malah mata kail yang dijual di negara kita, diimpot. Tetapi saya juga tahu ada sebuah kilang di Pulau Pinang (mungkin ada yang lain) yang membuat joran-joran ternama seperti 'Fenwick, Penn dan lain-lain.
Mengikut satu rencana dalam Rod & Line, sebanyak 60% joran jenama Penn (Jenama terkenal dari Amerika Syarikat) yang dijual di seluruh dunia, dibuat di Pulau Pinang. Mungkin kita antara pembelinya dengan harga yang mahal.
Walau bagaimanapu mengikut Teh Chee Meng, TCE Tackles Sdn. Bhd. telah berjaya mengeluarkan joran dan peralatan memancing berjenama 'Seahawk' yang penjualannya sedang berkembang pesat. Penjualan tahun 1996 telah meningkat lebih dari 100% dari tahun sebelumnya.
Saya percaya peluang untuk mengembangkan lagi industri ini masih ada. Adakah kita mempunyai infrastruktur untuk memajukan sukan memancing di Malaysia?
Laut Dan Ikan
Kita bertuah kerana mempunyai laut yang hampir di sekeliling kita, pulau-pulau berhampiran pantai kita dan berbagai-bagai jenis ikan.
Tetapi cabaran yang kita hadapi juga besar. Jumlah ikan sedang berkurangan pada kadar yang membimbangkan terutama sekali disebabkan oleh aktiviti-altiviti tak bertanggungjawab pengusaha-pengusaha bot-bot pukat tunda, pukat apolo, pengeboman (terutama sekali di Sabah dan Serawak) dan pencemaran (terutama sekali di Pantai Barat Semenanjung Malaysia).
Perosak ikan yang paling besar ialah pukat tunda dan pukat apolo. Hampir setiap kali kita keluar memancing kita lihat bot-bot pukat tunda (dan kadang-kadang bot-bot apolo) menarik pukat mereka di kawasan yang mereka dilarang berbuat demikian. Kalau hendak lihat pencerobohan yang paling ketara, keluarlah ke laut pada hari cuti hujung minggu dan pada hari-hari cuti am, terutama sekali pada perayaan-perayaan orang Islam. Bercakaplah kepada nelayan-nelayan tepi pantai, rungutan mereka yang pertama ialah mengenai pencerobohan bot-bot pukat tunda. Masalahnya bukan kerana tidak ada undang-undang, tetapi kerana kekurangan penguatkuasaan. Dengan kegawatan ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang dan tekanan kepada pengurangan perbelanjaan wang kerajaan (memanglah untuk tujuan yang baik). Saya khuatir bahawa penguatkuasaan (yang memerlukan perbelanjaan) akan turut dikurangkan. Sebaliknya dengan kenaikan harga (termasuk harga ikan), kos operasi yang lebih tinggi, saya khuatir bahawa pencerobohan akan bertambah .
Saya tidak risau dengan kuantiti ikan yang kita makan. Yang saya risau ialah kuantiti yang musnah semasa proses menangkap apa yang hendak kita makan itu.
Apakah yang harus dibuat? Kurangkan bilangan lesen yang dikeluarkan? Melarang terus aktiviti menangkap ikan di sebahagian kawasan laut tertentu untuk memberi peluang kepada ikan membiak dan membesar? Haramkan terus pukat tunda? Saya serahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk memikirkannya. Biar apa pun, tindakan segera yang berkesan adalah amat penting. Sementara itu, untuk sementara waktu, adalah diharapkan bahawa rondaan akan ditambah. Seperti yang saya pernah sebut, pemancing-pemancing sukan boleh berkerjasama memberikan maklumat. Setiap hari ada diantara mereka yang berada di laut. Mereka ada alat perhubungan dan mereka bersedia memberi maklumat terkini yang mereka temui. Tetapi mestilah ada tindakbalas yang segera.
Agak pelik juga apabila kita mula bercakap mengenai penggalakkan sukan memancing, kita ditanya samada, dengan berbuat demikian, kita mengancam mata pencarian nelayan-nelayan tepi pantai, kerana pemancing sukan juga menangkap ikan di kawasan tepi pantai, kebanyakkannya.
Pada pandangan saya, jawapannya adalah tidak, sebabnya :
- Ikan di laut tidak boleh pupus kerana mata kail, apatah lagi dengan peraturan yang ada sekarang bahawa seseorang pemancing itu tidak boleh menggunakan lebih dari dua mata kail pada satu tali, satu undang-undang yang tidak pernah dikuatkuasakan, mungkin kerana ianya terlalu tidak menasabah.
- Pemancing memancing cuma untuk keseronokkannya, bukan untuk cari makan.
- Pemancing-pemancing di Malaysia semakin sedar mengenai pemuliharaan dan kerapkali melepaskan semula ikan-ikan kecil yang tidak dikehendaki dan ikan-ikan sukan (game fish) seperti ikan mersuji (marlin) dan ikan layar (sail fish) tidak kira saiznya.
- Pemancing-pemancing sukan di Malaysia, akhir-akhir ini, telah mula terpengaruh dengan idea 'tangkap dan lepas' (catch and release), satu perkara yang kita tidak pernah dengar diperkatakan di Malaysia 15 tahun dahulu.
Pelanggan mereka ada yang datang dari Kuala Lumpur dan Singapura. Untuk menyewa bot-bot mereka perlu dibuat tempahan berbulan-bulan lebih awal. Mereka dapati adalah lebih mudah dan menguntungkan 'menangkap' pemancing daripada menangkap ikan. Semestinya pemancing mempunyai lebih kuasa membeli daripada ikan. Pemancing juga gembira, kerana ada bot-bot yang boleh membawa mereka pergi memancing. Apa yang perlu dilakukan hanya 'menghalalkan' aktiviti seperti itu dan mengawasinya, terutama sekali dari segi keselamatan, melalui peraturan-peraturan.
Malah, sesetengah pengusaha bot pukat tunda juga boleh ditukarkan menjadi pengusaha bot sukan memancing. Sekarang ini pun telah ada beberapa pengusaha bot pukat tunda yang berbuat demikian, secara sambilan, walaupun ianya salah disisi undang-undang. Sambil kita tidak menggalakkan perbuatan yang menyalahi undang-undang, sekurang-kurangnya, pada hari dia membawa pemancing pergi memancing, dia tidak menarik pukat tundanya di kawasan larangan yang boleh menyebabkan lebih banyak kemusnahan. Bila dia memukat semula esoknya, saya percaya dia tidak akan menarik pukatnya di tempat dia membawa pemancing sebelumnya. Kerana dia tahu lubuk itu perlu dipelihara untuk trip dimasa hadapan. Pemusnah boleh bertukar menjadi pemulihara, walaupun secara sambilan. Mungkin lebih banyak dari mereka boleh ditukar sedemikian. Sekali lagi apa yang perlu dilakukan ialah 'menghalalkan' (legalise) berserta peraturan-peraturan tertentu.
Sesetengah daripada mereka boleh juga berkerja sebagi 'guide' kepada bot-bot sukan memancing. Malah ada yang telah pun berbuat demikian sekarang.
Bot
Untuk pergi memancing, pemancing memerlukan bot. Tidak banyak pemancing yang mampu memiliki bot sendiri. Selain daripada itu, pemancing-pemancing tidak pergi memancing di satu tempat tertentu sahaja. Mereka ingin mencuba tempat-tempat lain. Tentu sekali mereka tidak mampu menyediakan sebuah bot disetiap pelabuhan. Juga jika kita hendak menarik pelancung pelancung kuar negeri datang memancing, kita tidak boleh berkata kepada mereka "bawa bot sendiri."
Malangnya hingga kehari ini , kita masih tidak mempunyai bot-bot yang boleh dibawa secara sah untuk pergi memancing. Bagaimana mereka pergi memancing sekarang? Sebilangan kecil antara mereka yang lebih bernasib baik menumpang bot-bot rakan mereka. Yang lainnya menyewa bot-bot ikan atau bot -bot penumpang, kedua-duanya secara 'haram.' Bot-bot ikan cuma dilesenkan untuk nelayan-nelayan itu menangkap ikan sendiri, bukan untuk disewa untuk membawa pemancing memancing. Bot-bot penumpang dilesenkan untuk membawa penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi atau bersiar-siar, bukan untuk memancing. Tetapi, kerapkali bot-bot ini disewa oleh pemancing untuk pergi memancing kerana merekalah yang kerap ke laut dan memerlukan bot.
Oleh itu kita perlu adakan satu kategori bot lagi iaitu bot-bot untuk disewa bagi tujuan memancing.
Walau bagaimanapun, saya mesti sebutkan bahawa, akhir-akhir ini, ada usaha untuk melesenkan bot-bot ikan untuk membawa pemancing pergi memancing. Adalah diharapkan agar ia akan dilakukan dengan segera.
Sambil rancangan itu baik, saya berpendapat ianya tidak memadai. Bot-bot ikan mungkin sesuai untuk membawa pemancing tempatan yang tidak mampu membayar terlalu banyak wang untuk pergi memancing tetapi sanggup dan tahan menghadapi keadaan yang kurang selesa. Tetapi bot-bot itu kurang sesuai untuk pelancung luar, malah pemancing tempatan juga, yang mahukan keselasaan yang lebih, sanggup membayar untuk bot yang lebih baik.
Oleh itu, eloklah bot-bot rekreasi yang dimiliki oleh orang-orang perseorangan, syarikat syarikat atau hotel-hotel tepi pantai dilesenkan juga untuk tujuan itu.
Semestinya ada beberapa masalah teknikal untuk berbuat demikian, seperti jabatan mana (Perikanan atau Jabatan Laut) yang akan mengeluarkan lesen-lesen itu dan mengawasinya. Bagi saya itu masalah kecil yang boleh diatasi, jika kita benar-benar serius. Biar apa pun, syarat-syarat lesen untuk kategori ini, seboleh-bolehnya hendaklah serupa dengan syarat-syarat yang dikenakan kepada bot-bot ikan yang dilesenkan untuk membawa pemancing pemancing itu.
Juga, pertindihan bidang kuasa hendaklah dielakkan, jika tidak ia akan lebih menyusahkan industri ini dan pemancing sendiri.
Tempat Memancing
Apabila seseorang pemancing tempatan pergi memancing di tempat biasanya dan pulang dengan tangan kosong, dia mungkin menganggapnya sebagai perkara biasa. Dia akan pergi lagi kemudian. Tetapi, jika perkara seperti itu berlaku dengan kerap kepada pelancung-pelancung luar negara yang telah merancang sekian lama, mengeluarkan wang yang banyak untuk pengalaman memancing di Malaysia, mereka akan menceritakannya kepada rakan-rakan mereka yang mungkin bercadang untuk datang memancing di Malaysia. Itu publisiti yang tidak baik untuk industri ini. Oleh itu kita perlu memastikan bahawa apabila mereka datang, sekurang-kurangnya kemungkinan mendapat tangkapan yang berpatutan adalah baik.
Memanglah tiada sesiapa yang boleh memastikan bahawa ikan akan sentiasa ada dan mahu memakan umpan. Perbezaan beberapa jam di tempat yang sama pun boleh membawa hasil yang berlainan. Tetapi itu tidak bererti kita harus menyerahkan kepada takdir sahaja tanpa berbuat sesuatu.
Kata-kata bahawa 'di mana ada air, di situ ada ikan' agaknya dicipta oleh orang yang tidak biasa memancing atau menangkap ikan. Ia tidak betul, sekurang-kurangnya berkaitan dengan laut.
Laut juga seperti daratan, ada 'Kuala Lumpurnya', ada 'Alor Setarnya', ada 'Tawaunya' dan ada 'Mulunya' dari segi kepadatan ikan. 'Kuala Lumpur' mempunyai ramai penduduk, diketahui dan dikunjungi oleh ramai orang. Tetapi berlainan dengan manusia, ikan pupus dengan cepat. Bukan kerana mereka tidak tahu membiak, tetapi kerana manusia memusnahkannya, anak-anaknya, tempat bertelurnya dan segala-galanya.
Pada masa ini pemancing-pemancing sukan dan nelayan-nelayan profesional berebut-rebut tempat menangkap ikan yang sama. Memanglah pemancing yang akan kalah kerana mereka cuma menggunakan mata kail. Adakalanya pemancing-pemancing sukan menggunakan alat yang lebih canggih, menemui satu lubuk ikan yang baru, Mereka pulang dengan tangkapan yang banyak. Selang beberapa minggu nelayan profesional mendapat tahu. Dalam masa sehari habis dikaut mereka, dengan anaknya dan tempat bertelurnya sekali. Malah ada kalanya, semasa pemancing-pemancing sukan sedang memancing di lubuk yang baru ditemui, nelayan-ne;ayan pukat tunda atau lainnya menunggu di sekeliling mereka. Apabila pemancing-pemancing itu beredar sahaja, mereka terus menurunkan pukat dan menyapunya selicin-licinnya.
Oleh itu untuk memajukan sukan memancing, perlulah diadakan tempat-tempat yang dikhaskan untuk memancing sahaja. Menangkap dengan cara lain, seperti menggunakan pukat, tidak dibenarkan di tempat-tempat itu.
Ada dua cara untuk melakukannya. Pertama mewartakan tempat-tempat khusus untuk tujuan itu. Tukun-tukun tiruan ditenggelamkan. Untuk mendapatkan semula kosnya, bayaran lesen memancing di tempat-tempat itu bolehlah dikenakan. Tetapi masalahnya ialah penguatkuasaan.
Sanggupkah pihak berkuasa mengawal tempat-tempat itu daripada dicerobohi oleh nelayan-nelayan pukat tunda dan lain-lain? Satu cara lagi ialah dengan mengswastakannya. Keluarkan lesen kepada orang-orang perseorangan, persatuan-persatuan nelayan, syarikat-syarikat, hotel-hotel tepi pantai untuk 'mengusahakan' sesuatu tempat untuk membawa pemancing-pemancing sukan memancing, seperti lesen kelong, tuas dan penternakan ikan. Biarlah mereka sendiri yang membuat tukun-tukun tiruan dan mengawalnya. Cara ini lebih memudahkan kerajaan. Kerajaan cuma perlu mengawasi bahawa syarat-syarat yang dikenakan kepada pengusaha-pengusaha itu dipatuhi, kerajaan akan mendapat wang dari lesen-lesen itu. Sekian.
Sumber
No comments:
Post a Comment