Oleh SHAWKATH AZDE
|
TAHUN 1972 menyaksikan Honda Motor Co. Ltd. (Honda Motor) di Jepun memperkenalkan kenderaan sedan saiz sederhana iaitu Honda Civic.
Konsep peringkat awal pembangunan model itu tertumpu kepada soal keselesaan kabin dan kecekapan bahan bakar. Elemen lain termasuk kualiti, gaya, keselesaan, keselamatan dan prestasi pemanduan kemudian ditambah pada kereta itu.
Kini, sudah 40 tahun berlalu. Honda Motor sudah menzahirkan lapan generasi model Civic dan menembusi pasaran 160 negara di serata dunia. Angka jualan kumulatifnya menjangkau 19.7 juta unit.
Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) memperkenalkan Civic ke pasaran pasaran Malaysia pada 2003 menerusi model generasi ketujuh. Tiga tahun selepas itu, generasi kelapan yang juga model pemasangan tempatan (CKD) mula menemui para pelanggan.
Baru-baru ini, Honda Malaysia menjayakan pelancaran generasi kesembilan kereta sedan segmen C itu di Serdang, Selangor. Ia membabitkan tiga varian iaitu 1.8S, 2.0S, 2.0 Navi dan satu model hibrid yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.
“Civic baharu sudah ditingkatkan nilai berbanding model sebelumnya dari segi penggunaan bahan bakar ekonomikal, prestasi, teknologi pintar termaju dan nilai jangka panjang,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno pada majlis pelancaran baru-baru ini.
Tahukah anda bahawa setiap generasi Honda Civic memiliki tema pembangunan tersendiri? Bagi produk 2012, ia berpaksikan kepada sedan futuristik dan cara tersendiri dengan teknologi pintar termaju.
Keseluruhan luaran dan dalaman tubuh Civic 2012 menerima sentuhan jurutera rekaan Honda Motor. Bermula dengan gril, bampar, bonet hinggalah kepada set lampu belakang.
Saiz jentera empat pintu itu turut berubah. Panjang keseluruhan Civic 2012 telah dikurangkan sebanyak 15 milimeter (mm) dan jarak rodanya dipendekkan 30mm jika dibandingkan dengan generasi kelapan.
Sungguhpun begitu, ruang kabin ditingkatkan sebanyak 10mm. Sementara ruang kaki penumpang belakang ditambah sebanyak 40mm.
HONDA mengekalkan rekaan papan pemuka dua lapis sebagaimana yang mula-mula diperkenalkan pada model Civic generasi kelapan.
Ruang kabin diubah dengan aplikasi papan pemuka baharu dengan konsol tengah menghala arah pemandu. Terdapat dua jenis susun atur konsol tengah dan ia bergantung pada jenis varian Civic.
Varian 1.8S dan 2.0S mempunyai sistem audio standard dengan pemain cakera pada bahagian konsol tengahnya. Civic 2.0 Navi pula dipasang dengan skrin sentuh bersama paparan sistem navigasi, kamera undur, serta pemain DVD pada ruang sama.
Eco Assist
Varian 2.0S dan 2.0 Navi mempunyai beberapa perbezaan jika dibandingkan dengan model asas 1.8 liter. Antaranya ialah rim aloi 17 inci, lampu isyarat membelok pada cermin sisi, tempat duduk kuasa lapan tahap untuk pemandu, ciri kemasukan pintar dengan butang Push Start, paddle shift, beg udara tepi serta lampu utama HID.
Satu skrin paparan pintar berwarna yang memaparkan pelbagai maklumat berukuran lima inci didatangkan pada semua varian Civic. Ia ditempatkan di sebelah kiri meter laju digital dan memaparkan informasi, jam, amaran serta beberapa jenis tetapan (setting) termasuklah sistem audio.
ANDA perlu memandu sendiri Civic generasi kesembilan untuk mengetahui kelebihannya.
Honda Malaysia juga memasukkan ciri Eco Assist pada Civic 2012. Lazimnya, ia hanya terdapat pada model hibrid. Eco Assist memaklumkan pemandu mengenai cara pemanduan mereka.
Jika meter laju berlatarbelakangkan cahaya hijau, ia mesra alam. Andai meter berwarna biru, tandanya penggunaan minyak petrol kurang efisien dan penggunaan bahan bakar secara berlebihan.
Pengemudian Civic 2012 ditambah baik menerusi integrasi Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dengan stereng kuasa elektrik Motion Adaptive. Adunan sistem itu membantu pemandu mengawal kenderaan dengan lebih baik jika berlaku pembelokan kurang atau lebih (understeer atau oversteer).
Kali ini, Civic Hybrid dilengkapi enjin bersesaran lebih besar iaitu 1.5 liter i-VTEC bersama sistem Integrated Motor Assist (IMA). Jentera hijau itu menjadi produk pertama Honda yang menggunakan bateri lithium ion.
ENJIN SOHC i-VTEC bersesaran 1.8 liter yang berkuasa dan menjanjikan penjimatan sewajarnya.
Pek bateri itu 29 peratus lebih ringan. Lebih tepat lagi, sembilan kilogram lebih ringan dan 35 peratus lebih efisien berbanding bateri nikel hidrida.
Dengan pengenalan Civic, Ueno mengunjurkan penguasaan pasaran sebanyak 40 peratus dalam segmen sedan saiz sederhana bukan nasional. Secara tepatnya sebanyak 5,200 unit Civic baharu menjelang akhir tahun ini. Sasaran model Civic Hybrid pula sebanyak 1,200 unit.
“Kira-kira 60 peratus pelanggan ialah pemilik kenderaan Honda, manakala bakinya datang daripada mereka yang ingin menaik taraf dari model City dan jenama kenderaan lain,” katanya.
Sudah pasti pakej selepas jualan Honda Malaysia iaitu jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, servis percuma sebanyak enam kali dan lanjutan selang antara servis sehingga 10,000 kilometer akan memainkan peranan penting untuk mencapai sasaran itu.
Sumber
No comments:
Post a Comment