Ko Lipeh Sangat Indah
MEMANCING DI THAILAND – PERJALANAN DAN KEPERLUAN.
JADIKAN IA PERJALANAN YANG DIRESTUI.
BUKAN semua kita mempunyai kesempatan untuk mengikuti trip memancing di Lautan Andaman Thailand. Sehubungan dengan itu bagi mereka yang pernah membaca atau mendengar cerita pasti timbul pertanyaan bagaimana hendak kesana dan apa keperluan yang dikehendaki dan perlu disediakan. Saya akan cuba memberikan informasi berdasarkan pengalaman saya memancing di Thailand sejak tahun 1999.
Lokasi memancing yang biasa ditujui oleh pemancing dari Malaysia terletak diperairan Andaman sebelah Pantai Barat ( Sebelah Langkawi ). Beberapa lokasi boleh dijadikan pilihan seperti Ko Rok ( menghala ke Phuket ), Ko Adang, Nok Kiau, Ko Lipeh, Ko Samilan dan beberapa lokasi lagi. Tekong bot lebih arif lokasi mana nak dituju untuk memancing. Biasanya tekong akan melihat dan meneliti keadaan cuaca sebelum memutuskan lokasi yang hendak dituju untuk memancing. Bagaimana pun kita boleh menberikan cadangan dan berbincang dengan tekong bagi lokasi yang hendak dituju. Trip yang biasa diadakan adalah bagi 5 hari 4 malam, 4 hari 3 malam dan 3 hari 2 malam. Bilangan pemancing bagi satu bot adalah diantara 6 hingga 8 orang sahaja. Paling selesa termasuk penganjur ialah seramai 6 orang.
Perjalanan
Perjalanan akan bermula melalui Wang Klian, Perlis dan Wang Prachan, Thailand atau Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Danok, Thailand. Perjalanan melalui Wang Klian akan menjimatkan masa hampir 2 jam jika dibandingkan dengan perjalanan yang melalui Bukit Kayu Hitam. Urusan Imigresen, Kastam dan Polis Malaysia serta Imigresen dan Kastam Thailand perlu diuruskan di kedua-dua tempat ini. Bagi mereka yang merokok bolehlah membeli bekalan rokok bebas cukai di kompleks bebas cukai yang terdapat dikedua-dua tempat. Dari kedua-dua distinasi tersebut kita akan sampai ke Pekan Cina atau Chalung dan untuk ke Jeti Pak Bara kita perlu belok ke kanan dan meneruskan perjalanan hingga sampai ke Pekan Langu. Saudara-saudara bolehlah makan tengahari di Pekan Chalung atau boleh juga di Pak Bara. Di Pekan Langu kebiasaanya pemancing akan berhenti untuk membeli buah-buahan, umpan ikan ( tambahan ) dan apa-apa keperluan lain yang diperlukan. Perjalanan selepas itu diteruskan hingga ke Jeti Pak Bara yang terletak kira-kira 15 - 20 minit perjalanan dari Pekan Langu. Apabila tiba di Pak Bara bolehlah kita makan, minum dan mengerjakan solat di Masjid sebelum bergerak ke Jeti untuk menaiki bot.
Makanan Dan Minuman Di Laut
Keperluan makanan dan minuman sangat perlu diambil berat bagi setiap trip memancing. Sediakan bekalan yang lebih sedikit dari keperluan sebenar yang diperlukan. Siapa tahu qada dan qadar Allah Taala. Biasanya saya membeli makanan keperluan di Malaysia dan juga di Thailand. Makanan kering dan kudapan dibeli di Malaysia manakala di jeti Pak Bara pembelian lebih kepada barangan dapur serta air mandi (botol besar) dan air minuman. Penyediaan makanan dan minuman diatas bot akan disediakan oleh pembantu tekong. Saudara-saudara hanya perlu memancing, makan, minum dan mandi sahaja. Tak tidoq pun tak apa…… nama pun pemancing otai.
Keperluan Rasmi ( Dokumentasi )
Pemancing-pemancing yang alamat pada Kad Pengenalan adalah Negeri Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan boleh menggunakan Pas Sempadan dan bagi Negeri lain perlu menggunakan Paspot Antarabangsa atau Paspot Berkumpulan. Pas Sempadan boleh dibuat di Pejabat Imigresen negeri-negeri terbabit atau di sempadan. Harganya hanyalah RM 10.00. Pasport berkumpulan boleh dibuat dimana-mana Pejabat Imigresen dengan kadar bayaran RM 200.00 dan boleh memuatkan 20 nama. Sebaiknya semua pemancing menyediakan salinan photostat Pas Sempadan Pas Berkumpulan dan juga Passport untuk disimpan oleh Ketua Kumpulan. Adakalanya Tentera Laut dan juga Polis Marin Thailand membuat rondaan dan memeriksa dokumen tersebut. Berikan mereka salinan Photostat tersebut dan segalanya dapat dipermudahkan.
Bagi yang membawa kenderaan sendiri pastikan Kad Pendaftaran Kenderaan dibawa bersama. Sekiranya kenderaan yang dibawa adalah hakmilik orang lain maka surat kebenaran dari pemilik asal perlu disediakan dan disahkan oleh Polis atau JPJ atau Majistret. Insuran Thailand boleh dibeli di Pekan Changlon dengan harga antara RM 14.00 hingga RM 17.00 bagi 9 hari bergantung kepada jenis kenderaan. Pertukaran RM Malaysia ke Bhat Thailand juga boleh dilakukan di Pekan Changlon.
Borang pengistiharan barangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Malaysia perlu diisikan dan diserahkan untuk di sahkan oleh mereka. Satu salianan disimpan oleh kita. Apabila memasuki Thailand kenderaan yang dibawa mestilah diperolehi permit yang dikeluarkan oleh Kastam Thailand dengan bayaran TB 100.00 atau RM 10.00. Satu salinan permit kita simpan dan mesti diserahkan kembali sewaktu keluar dari Thailand. Pihak Imigresen Thailand mengenakan bayaran TB 10.00 atau RM 1.00 bagi satu Pas Perjalanan yang dicop atau direkodkan oleh mereka.
Peralatan Memancing
Saya rasa saudara-saudara hendak ke medan pertempuran maka bawalah segala apa senjata sesuai yang ada. Itulah nasihat saya kepada pemancing yang mengikuti saya memancing disana. Ingatlah, jangan sepahkan peralatan anda diatas bot sebaliknya kemaskan dan simpan peralatan yang tidak digunakan disatu sudut atau tempat yang tidak akan menggangu keselesaan pemancing lain. Peralatan joran dan kekili yang tidak perlu atau tidak akan digunakan tidak perlulah dikeluarkan atau dipasang. Pastikan keperluan sebenar sahaja. Kalau rasa nak tunjuk gah tapi tak guna baik tak payah bawa.
Acara Memancing
Malam pertama akan digunakan untuk mencari umpan sotong di Ko Tarutao dan apabila umpan sudah mencukupi maka bot akan bertolak terus ke lokasi memancing yang telah dikenal pasti. Teruskanlah memancing sehingga ke hari terakhir untuk balik. Teknik memancing yang boleh dipraktikan adalah Trolling, Bottom Fishing, Popping, Jigging, Casting, Apollo dan Drifting. Sekiranya anda ada cara lain lalukanlah tapi jangan sampai mengganggu kawan-kawan yang lain. Pada hari terakhir perjalanan balik dari laut ke jeti mengambil masa lebih kurang 7 - 8 jam dan bot akan mula bertolak balik jam 8.00 pagi sambil berhenti memancing dibeberapa lubuk yang terdapat dalam perjalanan hinggalah sampai di jeti antara jam 3.30 – 4.30 petang. Pemunggahan barang-barang dari bot dan kedalam kenderaan memerlukan masa antara 30 - 45 minit.. Pastikan ikan siap dipunggah dari tong sejuk bot dan disusun dalam tong ikan kita semasa diatas bot lagi iaitu 30 - 45 minit sebelum bot tiba di jeti. Ini dapat menjimatkan masa kita untuk balik dan mengelakan pembuangan masa di jeti
Kita bolehlah makan/minum dahulu dan seterusnya mandi manda diresorts dengan kadar bayaran RM 10.00 bilik (sesuai 4 orang sebilik) bagi menyegarkan badan. Selepas itu perjalanan keluar diteruskan dan dijangka tiba di Pusat pemeriksaan Kastam & Imigresen Wang Prachan dan Wang Klian jam 6.30 petang.
Sekiranya saudara-saudara terasa letih, sengal-sengal serta sakit-sakit badan setelah 5 atau 4 hari/malam dilautan maka saudara-saudara boleh bermalam selama satu malam di resorts yang terdapat di Pekan Pak Bara. Kadar harga resorts yang cantik antara TB 350 hingga TB 500 atau RM 35.00 hingga RM 50.00 dan boleh dikongsi 2 orang sebilik. Masakan makanan kedai makan ditepian Pantai di Pak Bara sangat sedap dan saudara-saudara bolehlah menjamu selera sepuasnya bersama kawan-kawan. Sebaiknya ikan yang dipancing boleh dibawa dan mintalah kedai makan memasaknya. Masakan sweet sour, steam atau tiga rasa atau pilihlah apa-apa jenis masakan yang disukai. Perjalanan balik bolehlah dimulakan keesokan harinya.
Keselamatan
Para pemancing dinasihatkan membawa jaket keselamatan sendiri kerana ada bot yang tidak menyediakanya. Kalau ada pun mungkin jaket keselamatan cap ayam sahaja. Ketua kumpulan akan memaklumkan masa-masa pemancing perlu memakai jaket keselamatan dan yang sebaiknya sentiasa dipakai. Arahan beliau wajib dipatuhi tanpa sebarang kompromi. Bot memancing Thailand dilengkapi dengan Walkie Talkie 24 jam, GPS, dan Sonar. Kebiasaanya Tentera Laut dan Polis Marin Thailand akan membuat rondaan keselamatan pada musim-musim memancing.
Akhir Kata
Mungkin perjalanan sebenar tidak dapat diceritakan 100% dengan tulisan. Cadangan saya kepada yang belum berpeluang cuba-cubalah mengintai peluang untuk memancing di sana. Apa yang saya coretkan diharap dapat di jadikan pendoman dan panduan. Sekiranya terdapat yang terkurang atau tersilap kemaafan juga yang saya pohon dari saudara-saudara. Terima kasih. ALIASGAR MOHAMAD HANIFF,
aleey61@yahoo.com
ALOR STAR IPOH ANGLER -TEAM ( ASIA-TEAM )
Sumber
No comments:
Post a Comment