Wednesday, 23 April 2014

Kenali 8 Spesis Pari Yang Popular Di Malaysia


Merasai tarikan ikan Pari atau nama saitifiknya dasyatidae memang sesuatu yang amat mengujakan terutama bagi mereka yang menggemari aktiviti memancing. Tarikan padu dan larian bertenaga ikan ini memang sering di dambakan oleh kaki pancing di Malaysia. Tidak hairanlah jika ada sesetengah pihak menggelarkan spesies ini sebagai “lesen besar” di dalam dunia memancing mereka.
 
Di sini kami ingin berkongsikan jenis-jenis ikan Pari yang popular di Malaysia.
 
1. Pari Beting
                Pari beting menjadi antara pari yang paling popular di Malaysia. Dari utara ke selatan, timur ke barat ada sahaja spesies ini yang berjaya dipancing oleh kaki pancing. Menurut nelayan tempatan, pari beting ini mendapat namanya kerana ia sering menjadikan beting pasir sebagai lokasi untuk berehat dan memburu mangsanya. Kebiasaannya pari jenis ini akan membenamkan diri ke dalam beting pasir apabila terdapat ancaman. Diet utama bagi ikan jenis ini adalah udang hidup, ikan bebolos, sotong dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, asal ada makanan di depan matanya pasti akan disambar.
 
2. Pari Tanjung
                Ramai juga yang terkeliru mengenai rupa bentuk pari beting dan pari tanjung. Ianya sebenarnya amat senang dibezakan. Pari tanjung mempunyai tanduk yang lebih panjang berbanding pari beting dan ianya juga lebih nipis berbanding pari beting yang mempunya isi yang tebal. Habitat ikan pari tanjung ini biasanya di beting-beting pasar dan juga kawasan yang berlumpur. Diet utamanya sama seperti pari beting, tetapi umpan yang paling popular untuk menawan spesies ini adalah udang hidup.
 
3. Pari Rimau
                Inilah antara pari yang paling mencabar untuk didaratkan. Apa tidaknya, daya tarikan dan renangan pari rimau pastinya mampu melemahkan otot-otot dan sendi pemancing. Pari rimau ini mendapat namanya kerana corak dibadannya yang bertompok seakan-akan harimau. Tidak hairanlah tenaganya juga sekuat raja rimba itu. Habitat bagi spesies ini kebiasaannya ialah dikawasan pantai yang berbatu. Dietnya juga lebih kurang sama seperti spesies pari yang lain. Asal ada umpan, pasti akan disebatnya.
 
4. Pari Karang
                Secocok dengan namanya, pari jenis ini memang menjadikan karang sebagai habitat rasminya. Ikan pari karang ini boleh dikenal pasti dengan melihat bintik-bintik biru di badannya. Isinya juga lebih tebal, namun saiznya tidaklah boleh mencapai sehingga belasan kilo. Kebiasaanya saiz yang biasa dinaikkan pemancing adalah sekitar  1 kilogram sahaja. Spesies ini juga agak pemalu dan amat susah sekali untuk memakan umpan. Jadi jika ianya memakan umpan, pasti anda antara orang yang bertuah sekali di kawasan tersebut.
 
5. Pari Bendera
Pari jenis ini berbentuk agak berbeza berbanding pari-pari yang lain di mana ianya berbentuk bujur dan ekornya lebih pendek. Pari ini juga begitu jarang sekali untuk memakan umpan. Namun, ia masih menjadi udang, sotong dan ikan sebagai antara diet pilihannya.
 
6. Pari Daun
                Juga antara pari yang begitu popular di dalam arena memancing. Pari ini mempunyai isi yang lebih tebal dan pangkal ekornya juga lebih besar berbanding ikan pari yang lain. Dibahagian ekornya juga terdapat layar kecil yang berwarna kehitaman. Ikan pari jenis ini juga dikatakan amat bahaya kerana ianya agak agresif. Justeru itu, untuk mengelakkan kecelakaan, haruslah mengendalikan ikan ini dengan lebih berhati-hati.
 
7. Pari Lang
                Pari lang juga antara spesies yang makin sukar didapati di Malaysia ini. Ikan ini mendapat namanya kerana bentuknya yang kelihatan seakan-akan burung dan mempunyai bintik-bintik berwarna putih disekitar badannya.diet utamanya juga hampir sama seperti ikan pari yang lain iaitu udang, hirisan ikan, sotong segar dan sebagainya.
 
8. Pari Minyak
                Spesies pari minyak sememangnya amat popular di dalam arena memancing laut dalam. Ini kerana saiznya yang begitu besar dan asakan padu ikan jenis ini memang menjadi kegilaan untuk sukan ini. Ikan pari minyak senang juga dikenalpasti kerana badanya berwarna hitam dan mempunyai tompok putih disekitar badannya. Namun begitu, jika dibandingkan dengan ikan pari yang lain, pari minyak kurang menjadi pilihan untuk dijadikan hidangan di meja makan. Mungkin kerana saiznya yang besar dan isinya yang liat menjadikan ikan ini kurang digemari.

Sumber

No comments:

Post a Comment