Antara ikan yang berjaya dipancing
Otai kaki pancing, Ahmad Murad Khalid berkata, dalam dunia memancing masih ramai yang tidak tahu apakah teknik sebenar untuk merealisasikan impian menaikkan ikan diinginkan.
Katanya, banyak teknik yang perlu diterokai sedalam-dalamnya oleh pemancing dan semua ini harus dipelajari secara berperingkat-peringkat.
"Teknik pertama, pemancing perlu banyak bersabar kerana ikan besar susah nak makan umpan. Kadang-kadang pemancing perlu tunggu berjam-jam lamanya untuk seekor ikan. Itu pun belum tentu dapat ikan yang besar. Jadi, kesabaran amat penting dalam aktiviti memancing ini," katanya yang juga Perancang Ekonomi Raub Plantation (M) Sdn Bhd,
Seterusnya, pemilihan umpan juga banyak memainkan peranan dalam menaikkan ikan berat dan besar. Ikan suka makan umpan segar seperti udang, sotong, ikan belanak, selar, kembung dan macam-macam lagi. Jika ikan air tawar, spesies sebegini memerlukan umpan antaranya dedak dan kerang.
"Bajet untuk mendapatkan umpan sebegini tidaklah terlalu mahal. Cukuplah sekadar menyediakan wang belasan ringgit saja. "Sebenarnya, pemancing tidak kisah berapa bajet yang perlu dikeluarkan. Asalkan ikan besar berjaya dinaikkan, itu satu kepuasan berganda buat diri," ujarnya sambil menambah penggunaan tali tangsi lebih berat daripada ikan mendorong pemancing memperoleh ikan besar lagi berat.
Ilmu memancing
Menurut Ahmad Murad, kaki pancing sememangnya menyimpan hasrat untuk menaikkan spesies ikan kegemaran mereka. Ada yang bermimpi umpan mereka mengena ikan siakap raja, siakap, toman, patin, haruan dan ketutu.
Namun, itu semua bergantung pada teknik yang betul dan rezeki mereka pada hari tersebut.
"Bagi peminat setia ikan kerapu, apa yang boleh saya katakan mereka perlu menggunakan umpan yang bersaiz besar seperti ikan tongkol. Selain itu, kurita juga boleh dijadikan umpan untuk mendaratkan kerapu. Lagi besar umpan lagi baik untuk mendaratkan Kerapu," katanya.
Tambah beliau, tugas seorang pemancing bukan hanya menyediakan peralatan yang canggih atau mahal sahaja sebaliknya masih banyak ilmu yang perlu dipelajari sama ada melalui pengalaman sendiri dan bertanya kepada pemancing berpengalaman.
"Berkawan dengan orang lama atau lebih dikenali sebagai 'otai' dalam arena memancing memberi kelebihan kepada pemancing muda untuk menambah ilmu memancing.
"Mereka sememangnya lebih luas pengalaman dan tahu lebih mendalam bidang diceburinya. Jadi, buat pemancing muda, jangan malu atau segan untuk menimba ilmu berkaitan dunia memancing. Jika anda rajin bertanya, anda juga akan untung," katanya.
Untuk merancakkan dunia kaki pancing, Joran Pancing Warisan Sementa menganjurkan Pertandingan Memancing Mukim Kapar daerah Klang di Tasik Perpat Resort, baru-baru ini.
Seramai 100 peserta beradu kepakaran dalam menaikkan ikan tersebut bagi merebuat hadiah menarik iaitu wang tunai sebanyak RM1,500 berserta hamper dibawa pulang oleh pemancing pertama, tempat kedua (RM1,000) berserta hamper dan tempat ketiga (RM500) dan hamper. Pihak penganjur juga turut menyediakan 10 hadiah sagu hati kepada peserta.
Syarat pertandingan
Ahmad Murad selaku Penasihat Penganjur berkata, pertandingan memancing tersebut adalah kali pertama diadakan di Tasik Perpat Resort. Walaupun baru pertama kali, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan ini petanda baik bahawa aktiviti memancing memang mempunyai pengikut tersendiri.
Baginya, memancing boleh dijadikan riadah yang bermanfaat. Ini kerana sambil memancing, mereka boleh membawa keluarga, yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sebelum pertandingan dimulakan peserta pertandingan diberi taklimat.
"Mereka diingatkan bertanding secara positif, profesional dan jujur selain mematuhi semua jadual perjalanan dan syarat pertandingan. Mengikuti syarat yang dikenakan sememangnya menjanjikan pengalaman memancing ikan yang terbaik buat diri mereka," ujarnya.
Abdul Rahman Nayan yang berjaya menaikkan ikan Haruan seberat 900gram (gm) dinobatkan pemenang pertama untuk pertandingan memancing tersebut.
Ketika ditemui, Abdul Rahman menyatakan dia terpaksa berdepan banyak cabaran sepanjang menaikkan haruan.
"Teknik tertentu digunakan untuk menjinakkan haruan dan syukur ia berjaya.
"Kejayaan hari ini akan dijadikan dorongan untuk terus berusaha menaikkan ikan yang lebih berat lagi," katanya yang mengakui sebagai pemancing tegar dan kerap meraih hadiah dalam pertandingan memancing.
Bagi tempat kedua diraih Lokman Samsul yang mengangkat talapia hitam seberat 850gm. Manakala temoat ketiga dimenangi Ismail Sidek dengan ikan Ketutu seberat 750g. Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Perpat, Zainuddin Wagimin.
Sumber
No comments:
Post a Comment