Saturday, 8 March 2014

Kolam Air Panas Tawau

 
TAWAU turut memiliki kolam air panas yang kini semakin mendapat perhatian pengunjung.
KOLAM Air Panas Tawau kini mula melakar nama sebagai salah satu lokasi pelancongan di Sabah. Meskipun belum tersenarai sebagai destinasi popular namun kolam air panas semulajadi itu turut menggamit kegiatan perkelahan dan riadah keluarga.
Kolam air panas itu dipercayai terbentuk sejak ratusan tahun dan hanya ditemui kira-kira lima dekad lalu.
Selain menjadi lokasi perkelahan keluarga, kolam air panas itu turut dikunjungi atas pelbagai tujuan termasuk melaksanakan ritual bagi memohon ’pengabulan niat.’ Antara ritual yang sering kelihatan adalah amalan melontar wang syiling ke dalam kolam oleh pengunjung yang percaya perbuatan itu boleh mengabulkan hajat mereka.
Ritual itu kini bukan sahaja dilakukan oleh masyarakat Cina tetapi juga oleh kaum-kaum lain yang berharap kolam itu dapat memenuhi niat mereka.
Apapun tujuan kunjungan mereka, Kolam Air Panas Tawau sudah sinonim bagi penduduk Sabah meskipun belum terlakar di carta pilihan utama pengunjung.
Kolam semulajadi itu turut menerima lawatan pengunjung luar termasuk pakar dan pengkaji arkeologi, sains dan mineral untuk mengkaji keunikan dan manfaatnya kepada alam dan masyarakat.
Dengan bayaran RM10 untuk orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, para pengunjung boleh bersantai sepanjang hari untuk merehatkan badan dengan merendamkan kaki dan badan dalam air panas semulajadi itu.
Kolam Air Panas Tawau masih belum dipopularkan seperti kolam air panas terkenal lain namun ia dilihat berpotensi memikat ratusan pengunjung terutama setiap kali cuti perayaan.
Sebagai contoh, cuti krismas lalu dan cuti sekolah baru-baru ini menyaksikan kolam itu menjadi tumpuan ratusan pengunjung.
Kolam itu boleh dijadikan tempat tarikan pelancong yang unik dalam industri pelancongan Tawau sekiranya keunikan yang tersendiri itu dipromosikan.
Kira-kira 50 tahun lalu, kolam air panas itu hanyalah sebuah kolam terbiar dan kajian saintifik menunjukkan air panas yang mengandungi sulfur (belerang) itu terhasil daripada kegiatan seismik bawah tanah.
Wap panas dan gas meresap naik melepasi lapisan batu Igneus (batu habluran) di perut bumi dan apabila sampai ke permukaan bumi membentuk mata air panas.
Sabah dikatakan mempunyai 21 buah kolam air panas dengan suhu antara 29 dan 75 darjah Celsius.
Suatu ketika dahulu ada di kalangan pengunjung yang membawa bekalan telur ayam untuk direbus dalam kolam itu dan ia hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit untuk telur itu masak.
Bagaimanapun amalan merebus telur dalam kolam itu tidak lagi dibenarkan oleh pihak yang menguruskan kolam itu dengan alasan ia bagi memastikan keadaan semula jadinya tidak tercemar.
Para pengunjung hanya dibenarkan merendam kaki dan anggota badan yang lain bagi membersih dan merawat kulit.
Seorang pengunjung tempatan, Albert Chin, 56, berkata pemaju dan syarikat pengurusan kolam ini harus melihat potensi keunikan kolam ini daripada pelbagai aspek.
"Suatu ketika dahulu, kolam ini dikunjungi bukan sahaja kerana keunikan airnya yang sentiasa panas tetapi mereka boleh merebus telur ketika berkelah," katanya.
Beliau berkata, kalau amalan merebus atau merendam telur ini masih dibenarkan, kolam itu akan terus merekodkan peningkatan kunjungan pelawat. Kolam ini tidak harus hanya bergantung kepada pengunjung yang hanya datang untuk merendam kaki tetapi mempelbagaikan kegiatannya termasuk membenarkan semula kegiatan merebus telur.
Menyedari potensi dan kepentingannya, syarikat Rekobumi Sdn. Bhd. yang diberi tanggungjawab menguruskan kolam itu sejak tiga tahun lalu telah mengubah wajah kolam itu.
Daripada lopak-lopak air yang berselerak, kolam air panas itu kini kelihatan lebih tersusun sejajar dengan kedudukannya sebagai lokasi baru tarikan pelancong.
Pengarah syarikat itu, Datuk Soon Ten Fook memberitahu Bernama, usaha membangunkan kolam dan persekitarannya akan berterusan sejajar dengan keperluan semasa. "Masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menjadikan kolam ini mampu bersaing dan menepati kehendak pengunjung di samping memberi tumpuan kepada aspek keselamatan," katanya.
Antara cadangan syarikat untuk masa depan kolam itu menyediakan zoo mini bagi menempatkan haiwan-haiwan eksotik. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rekreasi/20140227/rk_01/Kolam-Air-Panas-Tawau#ixzz2vP4dkraB
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment