Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
POHON-POHON yang rendang di sepanjang hamparan pantai menjadikannya ideal untuk aktiviti berkelah.
WALAUPUN pemanduan dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik mengambil masa kira-kira empat jam, warga kota yang mencari detik ketenangan dan riadah bersama keluarga tetap menjadikannya pilihan popular destinasi percutian di negeri Perak.
Keletihan mengharungi perjalanan jauh itu bertukar tenang apabila akhirnya berpeluang untuk bersantai di tepi pantai sambil menikmati hembusan bayu segar dan deruan ombak di pantai berkenaan.
Terletak kira-kira enam kilometer dari bandar Lumut, Teluk Batik sentiasa dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu menikmati keindahan pantainya dan kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan.
MUZIUM SIPUT adalah salah satu daripada lokasi yang wajib dikunjungi.
Menurut sejarah, pada mulanya, ia dikenali sebagai Teluk Batak disebabkan kehadiran kaum Batak yang berasal dari Sumatera di kawasan itu suatu ketika dahulu.
Diceritakan, kaum Batak telah menjadikan kawasan itu sebagai tempat berlindung daripada serangan lanun dan perompak yang bermaharajalela di sekitar laluan Selat Melaka.
Lama-kelamaan, kawasan sekitarnya telah menjadi penempatan kaum Batak di Perak. Namanya terus kekal sebagai Teluk Batak sehinggalah sekitar tahun 70-an, apabila ia diubah secara rasmi kepada Teluk Batik.
Untuk tiba ke sini, pengunjung boleh mengikuti laluan simpang Teluk Muroh yang terletak berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Kehadiran penunjuk arah yang terpampang di sepanjang laluan nyata memudahkan pemanduan.
Pantai redup
PELBAGAI prasarana baru seperti Dataran Hadhari ini menceriakan kunjungan.
Keunikan Teluk Batik terletak pada hamparan pantainya yang memutih di samping penyediaan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
Pohon rhu yang tumbuh meliar di kawasan pantai nyata meredupkan pandangan. Pantainya yang bersih menjadi tarikan untuk pengunjung berkelah, bermandi-manda mahupun menyertai sukan pantai. Antara sukan popular adalah bola tampar pantai dan juga bola sepak pantai.
Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti kayak dan menaiki bot untuk bersiar-siar mengelilingi landskap teluk itu.
Selepas puas membasahkan diri di pantai, pengunjung boleh meluangkan masa untuk meninjau gerai kraftangan yang terletak berhampiran. Pelbagai cenderamata seperti kemeja-T, baju batik, pario dan topi dijual pada harga berpatutan.
DERETAN kedai kraftangan dan cenderamata menyambut pengunjung yang mahu membeli-belah.
Jangan lupa membeli pelbagai produk laut seperti sate ikan, sotong dan ikan bilis kering sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang.
Jika perut berasa lapar, usah risau kerana terdapat deretan gerai makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai variasi hidangan untuk menyambut selera pengunjung.
Tidak lengkap kunjungan ke Teluk Batik sekiranya tidak melawat Muzium Siput yang terletak berhampiran. Dengan seni bina rumah Melayu tradisional, muzium itu menyimpan lebih 300 spesies siput dan cengkerang yang terdapat di negara ini.
Biarpun dikenakan sedikit bayaran, namun pelbagai maklumat yang dikutip sepanjang lawatan ke muzium itu nyata berbaloi. Secara tidak langsung, kunjungan ke sini dapat mendidik pengunjung menghargai khazanah marin negara.
Pengunjung juga boleh mencuba pengalaman snorkeling ketika melawat Snorkeling Park. Ia merupakan taman tema pertama seumpamanya di Malaysia yang khusus untuk penyelam-penyelam yang mahu melihat keindahan hidupan laut walaupun berada di darat.
Dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang ia menawarkan pelbagai pakej yang sesuai untuk pelbagai kumpulan dan peringkat usia.
Bagi pengunjung yang ingin bermalam, Teluk Batik menawarkan pelbagai bilik dan calet yang boleh disewa dengan kadar berpatutan. Antaranya ialah, Teluk Batik Resort, Marina Cove Resort, Crystal Bay Chalet, Impian Chalet dan Chalet Pak Man.
More News: www.whazzup-u.com
No comments:
Post a Comment