Sunday, 17 August 2014

Peluang kaki pancing lepas gian di Hyperlink Shah Alam



APABILA menyebut Shah Alam, tentu sekali kaki pancing sudah terarah dengan program Kolam Pancing air tawar Batu Bata, tetapi sebenarnya tidak ramai yang mengetahui kawasan itu juga memiliki sebuah lagi kolam pancing yang tidak kurang menariknya.

Berbekalkan matlamat untuk memberi kepuasan kepada para pengunjungnya, Kolam Pancing Hyperlink yang baru dibuka pada 1 Januari 2009 di Jalan Besar, Kampung Bukit Lancong bersempadanan Shah Alam dan Subang Jaya nyata mempunyai daya tarikannya tersendiri dengan dikelilingi pepohon menghijau.

Tuan empunya kolam berkenaan, Nik Muhammad Hafiz berkata, pembukaan kolam ini sebenarnya adalah operasi sampingan kerana pihaknya lebih memfokuskan operasi membekal ternakan kambing untuk aqiqah dan korban selain ternakan ayam kampung.

"Walaupun ia lebih bersifat sampingan, kami percaya ia sekurang-kurangnya mampu memberi peluang kepada kaki-kaki pancing untuk melepaskan gian selain beriadah. Setakat ini, kami lihat penyertaan dikalangan kaki pancing cukup menggalakkan.

"Andai kolam ini terus menerus menerima kunjungan kaki pancing pada masa akan datang, kami bersedia pertimbang untuk meluaskan skop operasi termasuk waktu operasi, insyaAllah. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada penyertaan kaki pancing," ujar Nik yang mengusahakan kolam itu bersama rakan kongsi, Suhaimi.

Antara spesis ikan yang ditawarkan di kolam ini ialah tongsan, rohu, patin, pacu, tilapia merah, baung, haruan dan keli.

Mengenai operasi kolam kata beliau, pihaknya mengenakan bayaran harga berpatutan iaitu sebanyak RM14.00 bagi dua jam pertama dan bayaran tambahan RM5.00 untuk jam berikutnya. Setakat ini, waktu operasi bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah malam pada setiap hari.

Bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, tambah Nik, pihaknya turut mengadakan pertandingan Jackpot Mingguan dua kali dalam setiap bulan dan hari cuti bergantung kepada permintaan dikalangan kaki pancing.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Nik Muhammad Hafiz di talian 012-2964280 atau Suhaimi 012-4559046.

Peta lokasi kolam sila klik disini

 

No comments:

Post a Comment