Wednesday, 27 August 2014

BARRAMUNDI

Hiasan Ikan siakap yang turut dikenali sebagai barramundi atau nama saintifiknya  Lates Calcarifer terkenal di Malaysia, kawasan Aisa Tenggara dan Australia. Malahan perkataan barramundi merupakan kata pinjaman dari sejenis bahasa di kawasan Queensland yang bermaksud ‘ikan sungai sisik besar’. Spesies ini merupakan ikan catadromous dalam keluarga Latidae. Taburan spesies ini agak meluas terutamanya di kawasan perairan Indo-West Pacific. Taburan ikan siakap boleh ditemui di pinggir timur Teluk Gulf sehingga ke China, Taiwan, selatan Jepun, selatan Papua New Guinea dan selatan Australia.
 
Ikan siakap merupakan spesies ikan yang mempunyai toleransi salitini yang sangat tinggi. Toleransi saliniti ini membawa maksud kepada daya toleran spesies ini terhadap sifat saliniti air atau kemasinan air. Jadi, ikan siakap mampu hidup dalam keadaan air masin atau air tawar. Toleransi saliniti yang tinggi memberikan kelebihan kepada spesies siakap dalam memilih habitatnya.
 
Habitat ikan siakap biasanya tertumpu kepada kawasan muara sungai. Oleh kerana siakap mempunyai daya toleransi saliniti yang tinggi, maka spesies ini boleh ditemui dalam keadaan air masin, air tawar dan air payau. Selain itu, kawasan berstruktur besar seperti batu dan kayu besar juga menjadi habitat pilihan bagi siakap. Antara tasik dan empangan di Malaysia yang didiami siakap air tawar adalah di Tasik Kenyir. Selain di Tasik Kenyir, siakap bersaiz mega juga kini telah didapati di Tasik Beris dan Empangan Muda di Kedah.
 
Ikan siakap mempunyai bentuk badan yang memanjang dengan mulut condong yang besar. Bahagian rahang atas spesies ini memanjang sehingga ke bahagian belakang mata. Bahagian pipi atau operkulumnya mempunyai duri kecil yang mampu melukakan. Sementara itu, sisiknya pula dalam kategori ctenoid. Kepalanya pula melengkung ke bawah.
Selain itu, ikan siakap mempunyai sisik yang agak besar. Sisik pada badannya berwarna perak di mana mungkin boleh menjadi semakin cerah atau semakin gelap mengikut keadaan persekitaran habitatnya.

Sumber

No comments:

Post a Comment