Kira-kira 10 tahun lalu saya pernah berkunjung dikawasan air terjun disini untuk berkelah dan memancing. Dahulu tempat ini dipenuhi dengan semak samun dan hutan tebal. Keadaannya sekarang sudah berubah dengan kewujudan beberapa kawasan perumahan dan Pusat Serenti yang dibangunkan sejajar dengan keperluan pembangunan negeri Selangor yang kian pesat.
Sumber Air Pergunungan
Terletak bersebelahan dengan pusat perkelahan air terjun, Kolam Pancing Danau Serendah ini menjemput pemancing yang mementingkan daya juang ikan, saiz dan rasa ikan disamping beriadah bersama keluarga. Antara faktor utama selain dengan apa yang saya nyatakan diatas ialah punca airnya yang menggunakan sumber terus dari air sungai pergunungan yang sentiasa cukup dengan oksigen dan bersih. Walaupun ikan-ikannya tidak terlalu besar tetapi jika anda berkunjung ke sini ia pasti menjanjikan satu kepuasan maksimun bertarung dengan ikan walaupun hanya bersaiz 1 kilogram hingga 2 kilogram sahaja.
Kolam yang berkeluasan setengah padang bola dan mempunyai kedalaman lebih kurang 2 meter ini menyediakan segala keperluan asas sama seperti kolam komersial lain. Pada kunjungan pertama saya beberapa bulan lalu kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan bagi menaik taraf seperti kolam sokongan dan sebuah lagi kolam pancing bakal dibuka. Ini bermakna, jika telah siap kelak, pemancing boleh memilih kolam yang diingini untuk menduga penghuninya. Yuran yang dikenakan pula ialah sebanyak RM 24.00 untuk 3 jam dan RM 7.00 sejam bagi setiap tambahan masa.
Bagi setiap pemancing kolam, stok ikan pasti menjadi keutamaan setiap kali berkunjung kemana–mana kolam bayar. Jadi, bagi memuaskan hati pengunjung, stok ikan akan ditambah setiap minggu atau mengikut jenis ikan yang dibawa keluar hasil tangkapan pemancing. Caranya ialah setiap pengunjung yang berjaya dengan hasil tangkapan akan ditimbang dan direkodkan. Dengan cara ini pengusaha dapat mengenalpasti kuantiti dan jenis ikan yang dibawa keluar bagi memudahkan penambahan stok ikan. Seperti kolam-kolam komersial lain juga, pacu, patin, rohu, keli dan tongsan menjadi taruhan disini.
Penggunaan Penyandar Joran( Rod Stand )
Penyandar joran( rod stand ) dikenali juga kaki kolam dengan nama ‘ besi pancang ’ adalah salah satu peralatan penting jika anda ingin berkecimpung dalam dunia pancingan kolam. Ada juga sesetengah kolam menyediakan penyandar joran jenis pasang siap yang dipasang ditepi-tepi kolam. Tetapi selalunya pemancing lebih selesa menggunakan penyandar joran yang dibawa sendiri. Pelbagai jenis dan bentuk kita dapat lihat dipasaran sekarang. Tidak kurang pula yang menggunakan kreativiti dengan membuatnya sendiri. Tetapi tujuan tetap sama iaitu menyandar atau memangku joran dengan keadaan selamat dan mudah dikendalikan.
Selama pemerhatian saya memancing kolam. Penggunakan penyandar joran berbentuk ‘Y’ amat efektif dan senang untuk dibawa apabila pemancing kerap berpindah ‘port’. Ia juga memudahkan pemancing untuk mengangkat joran bagi tujuan menukar umpan dan melakukan sentapan. Saiz dan panjang penyandar joran itu juga perlu diambil kira. Sebaik-baiknya pilihlah batang besi yang sedikit besar dan panjang. Pemilihan ini berasaskan kenyataan bahawa batang besi yang bersaiz kecil kurang stabil sekiranya joran direntap ikan.
Tetapi penggunaan penyandar joran jenis ini ada kebaikan dan kelemahannya. Jika sistem tegangan dikemaskan dengan tahap maksimun dikhuatiri joran anda akan terjun ke dalam kolam diheret ikan kerana ia tiada sebarang sokongan tambahan sebagai keselamatan melainkan hanya sekadar menyandar atau memangku joran. Kejadian seperti ini kerap berlaku jika pemancing leka atau lambat mencapai joran apabila ikan meragut umpan terutama yang bersaiz besar. Selalunya pemancing yang kerap menjadi mangsa ialah mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia pancingan kolam. Walaupun mengambil semula joran yang terjun boleh dilakukan, tapi ia salah satu perkara yang memalukan bagi seorang pemancing dan mengganggu konsentrasi pemancing lain. Moral dari kejadian ini ialah pemancing haruslah sentiasa berada didalam keadaan bersedia dan peka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Malang tidak berbau!
Saranan saya gunalah penyandar joran berbentuk ‘Y’ sebanyak 2 unit. Ia dipasang dibahagian depan dan belakang joran. Penyandar joran hadapan perlulah bersaiz besar dan melepasi cincin yang pertama. Fungsinya ia dapat menghalang joran dari meleret jika disambar ikan. Tapi pastikan sistem tegangan dilonggarkan dahulu. Penyandar joran bahagian belakang pula hanyalah sebagai pemangku joran dan sekadar menyelaraskan tahap ketinggian joran bagi memudahkan joran dikendalikan.
Bagaimana untuk kesana!
Jika anda dari arah Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan persekutuan atau jalan lama. Anda akan melalui Bandar Rawang dan Pekan Sungai Choh. Selepas sahaja merentasi Pekan Serendah. Anda akan temui lampu isyarat. Terus membelok kekanan dan cari arah ke Pusat Serenti Serendah. Anda akan melalui beberapa taman perumahan dan perkampungan orang asli. Selepas sahaja persimpangan Pusat Serenti Serendah, teruskan perjalanan. Lebih kurang 5 minit perjalanan anda akan temui Kolam Memancing Danau Serendah. Selamat Memancing!
Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan En. Ibrahim( 013- 239 5125 ) atau En Rahim( 019-389 5775 )
Sumber
No comments:
Post a Comment