Oleh KARL SHAFEK IBRAHIM
PANTAI Pulau Pinang yang landai, berair jernih dan pasirnya memutih.
TERENGGANU sememangnya amat kaya dengan seni kebudayaan, makanan yang enak dan keunikan tata cara hidup masyarakatnya yang setiasa memanggil para pencinta agenda percutian.
Dalam mempertaruhkan landskap semula jadi yang memukau, rangkaian pulau-pulau indah seperti Pulau Kapas, Lang Tengah, Perhentian mahupun Redang tidak terkecuali.
Lokasi popular tersebut pasti dipenuhi pelancong domestik dan luar negara sepanjang Mac sehingga Oktober setiap tahun. Itulah waktu terbaik untuk menikmati keindahan permata-permata Terengganu itu selepas musim monsun berakhir.
Pulau Redang merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau di Terengganu. Pulau terbesar itu adalah destinasi selaman skuba yang cukup terkenal selain menjadi tapak pemuliharaan penyu yang penting. Ia juga diwartakan sebagai Taman Laut di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.
Jeti Merang
Untuk ke Pulau Redang, perjalanan menaiki bot dari Jeti Merang di Setiu mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.
Kewujudan Pulau Redang dikelilingi landskap tambahan dari pulau-pulau di sekitarnya iaitu Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Ekor Tebu, Pulau Ling dan Pulau Pinang.
Tidak lengkap acara bercuti di Redang kalau tidak menyertai aktiviti selam skuba! Antara tapak tumpuan penyelam skuba yang popular di situ adalah Tanjung Lang, Tanjung Tokong, Tanjung Gua Kawah, Pasir Panjang dan Batu Mak Cantek.
Selain dapat menyaksikan keindahan batu karang dan hidupan marin, beberapa bangkai kapal bersejarah iaitu H.M.S Putera Wales dan H.M.S Repulse yang karam di radius perairan Redang turut menjadi daya tarikan. Kehadirannya yang mengimbas kisah lara Perang Dunia Ke-2 memberi cabaran kepada penyelam yang mahu membongkar gambaran tepat tentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Selain selam skuba, pelancong juga boleh melakukan aktiviti santai seperti berenang di pantai, mencandat sotong, snorkeling mahupun memancing. Semuanya terpulang pada kemahuan dan jadual acara masing-masing.
Tarikan penginapan
Infrastruktur yang lengkap juga menjadikan Redang sebagai destinasi ideal untuk seisi keluarga merasai hembusan bayu Laut China Selatan. Puluhan hotel dan resort tersedia untuk menjadi tempat penginapan di sana.
Masing-masing berlumba-lumba memberikan pakej dan perkhidmatan serta permandangan terbaik untuk tetamu mereka. Pilihan terletak di tangan pengunjung iaitu sama ada hanya mahu berkhemah mahupun tidur di hotel mewah!
Pulau Pinang yang terletak berdekatan dengan Pulau Redang adalah permulaan bagi petempatan manusia di gugusan pulau tersebut. Pulau kecil itu dahulunya merupakan perkampungan nelayan sebelum penduduknya dipindahkan ke Pulau Redang.
Jika ingin bersnorkeling, memadai jika berenang di bawah jetinya untuk disapa ratusan ikan karang yang bewarna-warni dan jinak! Kalau bernasib baik, pengunjung mungkin berpeluang melepaskan sendiri anak-anak penyu yang baru menetas ke laut.
Kunjungan bersama keluarga di Redang perlu dipenuhkan dengan aktiviti riadah pantai. Semua itu dapat mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan yang mungkin terabai lantaran kesibukan jadual kerja di kota.
Pantainya memang selamat untuk kanak-kanak dan sudah pasti si comel pun gembira berlari-lari di atas pasir yang putih bersih itu.
Bagi sesetengah golongan muda yang gemarkan konsep percutian di bawah matahari, Pulau Redang bukanlah asing kerana kebanyakan yang berkunjung ke sini ialah golongan pengunjung berulang. Ketenangan dan kedamaian di Redang adalah penyuntik semangat untuk mengembalikan kesegaran minda.
Biru bercahaya
Mahukan pengalaman yang berbeza? Cubalah berjalan di gigi ombak pada waktu malam kerana ada sesuatu yang menarik menanti di tapak kaki ketika anda memijaknya.
Di satu bahagian pantai yang dipanggil Blue Sand, ada sesuatu tarikan istimewa yang menjadi sebutan ramai. Pasir pantai itu akan kelihatan seperti mengeluarkan cahaya biru bersinar-sinar apabila ombak menghempas ataupun apabila dipijak.
Ia sebenarnya adalah jutaan plankton Bioluminescent Ostracods yang akan memancarkan cahaya jika ‘diganggu’.
Ia memang sesuatu yang mengasyikkan sehinggakan penduduk setempat berseloroh bahawa pasir biru itu sangat digemari pelancong yang ingin memikat pasangannya. Lazimnya, si lelaki romantik akan menyerahkan pasir biru bercahaya itu ke tangan wanita yang diingininya!
Sebelum meninggalkan lokasi percutian ini, apa kata singgah dahulu ke Kuala Terengganu yang cuma mengambil masa perjalanan kurang sejam dari Jeti Merang. Banyak lokasi pelancongan sehenti di sini termasuk Taman Tamadun Islam yang menempatkan replika bangunan-bangunan indah bercirikan Islam dari serata dunia.
Oh ya, keropok lekor juga wajib untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
Sumber
No comments:
Post a Comment