Friday 24 April 2015

Udara Segar Laut


KEPADA pemancing, mabuk laut adalah asam garam dalam menjalani aktiviti berkenaan. Bagaimanapun, jika terasa mabuk ketika terperangkap dalam keadaan ribut dan gelombang besar, anda tidak harus menyorokkan diri atau terperap dalam kabin atau ruang tertutup.
Sebaliknya, udara yang bertiup dari luar adalah bersih yang datangnya dari lautan dan boleh dianggap sebagai penawar mabuk atau pening. Udara segar itu perlu dimanfaatkan walaupun angin bertiup kencang.
Di samping itu, pemancing harus tidak merebahkan badan atau berbaring dalam keadaan tempat yang sempit serta keadaan udara yang tidak bersih terutama terlalu hampir dengan enjin kerana bau asap diesel boleh menambahkan lagi rasa mabuk sekali gus anda akan terus muntah-muntah.
Ketika bot dilambung ombak, anda mesti pandai mengimbang badan serta mengikut lenggok bot yang dibuai gelombang. Cara ini anda pasti dapat bertahan lebih lama daripada terus mabuk.
Bersandar dengan mendedahkan pandangan jauh ke hujung ke laut adalah sebaik-baik amalan yang patut dijadikan petua. Cuma apa yang tidak patut dilakukan dalam keadaan kecemasan begini ialah tidak memaksa diri untuk melawan kerana ribut atau gelombang besar tidak boleh ditawan dengan kekuatan tenaga kecuali bertindak segera mencari kekuatan mental supaya anda terus dapat bertahan serta melalui cemas, khuatir dan perasaan bercampur-baur itu.
Jika dalam keadaan mabuk, tindakan menelan pil sudah tidak berguna lagi. Apa yang mungkin dapat membantu diri anda daripada terus diserang mabuk laut ialah anda tidak perlu banyak bergerak atau bercakap banyak dalam bot yang sedang dilambung gelombang.
Bagi mereka yang sudah dapat bertahan dengan keadaan begini, ertinya tidak mabuk laut perlu mengambil kira rakan yang sudah dilanda mual.
Beri bantuan dengan memicit tengkuk sambil menggunakan minyak angin atau mencium minyak angin sambil menyedut udara laut yang segar. Basahkan mulut dengan mengunyah benda yang masam sebagai ubat tetapi bukan untuk makan biasa yang tentunya bakal dikeluarkan semula melalui muntah.
Dalam apa juga bantuan, untuk mengelak daripada mabuk laut, pening atau muntah selain dari petua yang saya turunkan sebelum ini dalam halaman saya, anda kaki pancing perlu membuat persediaan awal seterusnya tidak mendedahkan diri dengan sentiasa memandang air laut yang berombak atau bergerak berlebihan hingga anda tidak dapat mengawal diri jika keadaan laut bergelora. Jauhkan daripada memasang mata kail dalam bot kerana jarak pandangan mata yang dekat dan memfokus pada lubang pancing akan mengundang mabuk serta-merta.
Kebelakangan ini, keadaan cuaca tidak menentu terutama di perairan laut sebelah Pantai Timur (Laut China Selatan). Justeru, langkah berjaga-jaga perlu diambil kira atau batalkan saja hasrat untuk turun memancing buat sementara waktu ini.

No comments:

Post a Comment